Bajet 2023 bukan gula-gula PRU15, kerajaan ada peruntukan kewangan – PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Bajet 2023 yang dibentang bukan sekadar manifesto atau gula-gula Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semata-mata tetapi sudah mempunyai peruntukan kewangan untuk dilaksanakan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, peruntukan ini mencakupi keperluan semua lapisan masyarakat bagi memastikan tiada Keluarga Malaysia tertinggal sama ada mereka yang tinggal di ceruk desa sehingga di tengah kota, semuanya mendapat manfaat.

“Misalnya, wanita yang melahirkan anak akan dapat bantuan RM500. Murid sekolah pula menerima Bantuan Awal Persekolahan sebanyak RM150 seorang tanpa mengira had pendapatan ibu bapa mereka.

“Begitu juga dengan Ketua Isi Keluarga (KIR) yang berpendapatan bawah RM2,500 yang memiliki lima orang anak atau lebih pula akan menerima bantuan sebanyak RM2,500. Ini juga merupakan bantuan tunai terbesar dalam sejarah negara,” katanya.

Namun begitu, Perdana Menteri mengingatkan segala bantuan dan inisiatif ini hanya dapat direalisasikan sekiranya kerajaan diberi mandat pada PRU15, supaya bajet ini dapat dibentangkan sekali lagi di Parlimen untuk diluluskan.

“Inilah beza Bajet 2023 dengan manifesto pembangkang yang hanya sekadar janji-janji manis yang belum tentu dilaksanakan, seperti mana pengalaman 22 bulan mereka mentadbir negara,” katanya.

Selain itu, Ismail Sabri juga mengumumkan peruntukan RM100 juta untuk Tabung Modal Pusingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia bagi tahun 2023 bagi menyediakan pembiayaan kepada koperasi dalam mengembangkan industri agromakanan.

Katanya, usaha ini turut disokong Program Pemerkasaan Rantaian Bekalan Koperasi ke arah memastikan bekalan barangan makanan dan keperluan pengguna sentiasa konsisten pada harga yang lebih murah.

“Kerajaan sentiasa berusaha memastikan Keluarga Malaysia termasuk kalangan usahawan dan koperasi untuk terus mengecapi kemakmuran.

“Saya percaya, ramai yang menyedari bahawa sektor koperasi yang wujud di Malaysia sejak 100 tahun telah banyak membantu ahlinya menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya di Karnival Usahawan dan Koperasi Keluarga Malaysia di Kuala Selangor pada Khamis.

Jelas Ismail Sabri, hasil kerjasama Keluarga Malaysia dan kecekapan kerajaan dalam mentadbir negara sepanjang tempoh lebih setahun ini, telah mencatat banyak kejayaan, meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran luar biasa.

“Dalam tempoh berkenaan, Malaysia muncul antara negara yang menyaksikan prestasi ekonomi terbaik di Asia Tenggara, dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 8.9 peratus pada suku kedua 2022, berbanding 5.0 peratus pada suku pertama 2022.

“Kejayaan ini turut diakui oleh Bank Dunia yang bertindak menyemak semula unjuran KDNK bagi tahun 2022 kepada 6.4 peratus berbanding 5.5 peratus yang diunjurkan pada bulan Mac lalu.

“Alhamdulillah, Malaysia juga mencatat pencapaian terbaik apabila diiktiraf sebagai negara ke-18 paling aman di dunia daripada 163 buah negara dan kedua di Asia berdasarkan Indeks Keamanan Global (GPI) 2022, yang menjadi ukuran utama kedamaian global di dunia,” ujar beliau.

Dalam pada itu Perdana Menteri juga menyebut daripada jumlah peruntukan Bajet 2023 yang dibentangkan baru-baru ini Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) telah diperuntukkan sebanyak RM668.4 juta bagi pembangunan usahawan dan koperasi.

“Bahkan, kerajaan juga menyediakan geran secara sekali bayar atau one-off bernilai RM1 bilion untuk syarikat Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) yang berdaftar bagi memanfaatkan sejuta penerima selain Skim Penjaja Kecil Keluarga Malaysia sebanyak RM350 juta.

“Bagi menggalakkan belia berniaga, kerajaan telah menyediakan kemudahan pinjaman khusus berjumlah RM305 juta melalui SME Bank, TEKUN Nasional, MARA, BSN dan Agrobank.

“Malah kerajaan turut memperuntukkan RM20 juta bagi melaksanakan Program Usahawan Siswazah (PUSh) bagi manfaat 1,000 graduan menceburi bidang keusahawanan,” katanya.

Selain itu kata beliau lagi kerajaan juga mengiktiraf peranan wanita dalam dunia perniagaan dengan menyediakan Dana Pembiayaan Khas Wanita sebanyak RM235 juta melalui Skim Semarak-Nita BSN, Tekunita Tekun Nasional, DanaNITA MARA dan Biz Lady Bank Rakyat.

Bagi menjaga kebajikan rakyat, Perdana Menteri memaklumkan kerajaan memperuntukkan RM100 juta bagi melaksanakan Kempen Jualan Murah Keluarga Malaysia di 639 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara dengan harga barang dijual 20 peratus lebih rendah berbanding di pasaran.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat