Hanya Guru Lengkap Vaksin Dibenar Mengajar Dalam Kelas

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menetapkan hanya guru yang lengkap divaksin sahaja dibenarkan untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) di dalam kelas dan berinteraksi dengan murid.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, ini mengambil kira ketetapan dalam menyediakan pelan komprehensif pembukaan semula sekolah bagi memastikan murid dapat kembali belajar secara bersemuka dalam keadaan selamat.

“KPM telah mengadakan sesi libat urus yang menyeluruh bagi mendapatkan pandangan dan cadangan daripada semua pihak berkepentingan.

“KPM juga telah membuat analisis terperinci mengenai amalan terbaik pembukaan semula sekolah di negara-negara lain bagi meneliti pendekatan yang berkesan untuk memastikan pengoperasian sekolah secara bersemuka dapat dilaksanakan dalam keadaan yang selamat.

“Pelan ini kemudiannya diperincikan bersama-sama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta diselarikan dengan Pelan Pemulihan Negara (PPN,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Menurutnya, bagi memastikan kelancaran pengoperasian sekolah, KPM telah menyediakan Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0 sebagai rujukan kepada jabatan pendidikan negeri (JPN), pejabat pendidikan daerah (PPD) dan pentadbir serta guru.

“Terdapat penambahbaikan yang dibuat dalam garis panduan pengurusan dan pengoperasian antaranya ialah mewajibkan pemakaian pelitup muka kepada semua warga sekolah, termasuk murid serta memastikan pengudaraan yang baik di dalam kelas.

“Selain itu memastikan murid makan di ruang terbuka dengan seliaan guru bagi kelas yang menggunakan penyaman udara dan melaksanakan tiga kali ujian kendiri COVID-19 kepada murid yang akan pulang ke sekolah asrama sepenuhnya,” katanya.

Beliau menambah ini termasuk melaksanakan satu kali ujian kendiri COVID-19 bagi murid asrama harian semasa pendaftaran masuk.

Selain itu jelasnya, KPM juga mengambil ketetapan untuk mengehadkan kapasiti murid di sekolah pada kadar 50 peratus enrolmen keseluruhan.

“Bagi tujuan tersebut, kaedah sistem penggiliran murid hadir digunakan bagi mengehadkan kapasiti murid di dalam kelas kepada 50 peratus daripada jumlah murid dalam kelas tersebut.

“Hanya anggota kumpulan pelaksana (AKP) serta pekerja perkhidmatan sokongan (PPS) yang lengkap divaksin sahaja dibenarkan memasuki dan bekerja di dalam kawasan sekolah,” ujarnya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat