Silap sokong parti yang nak ‘bunuh’ UMNO jadi PM – Mohamad Hasan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – UMNO tersilap langkah apabila menyokong pemilihan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri sewaktu awal penubuhan Perikatan Nasional (PN).

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pemilihan Perdana Menteri lepas tumbangnya Pakatan Harapan (PH) adalah suatu kesilapan apatah lagi individu tersebut adalah pemimpin daripada parti yang ingin menjatuhkan UMNO.

Memetik laporan UMNO Online, Mohamad berkata, Bersatu yang diwakili oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin itu sememangnya ditubuhkan untuk menjatuh dah mahu menggantikan UMNO sebagai parti terbesar bagi orang Melayu.

“Masa nak tubuh kerajaan, tersilap serahkan jawatan nombor satu negara kepada orang yang hanya ada enam kerusi sahaja.

“Tapi sebab hendak berpakat supaya betul caranya hendak tubuh kerajaan kerana yang penting pada ketika itu adalah hendak lihat PH jatuh, lain tidak ada.

“Kita hendak DAP dan PKR jatuh, tapi tersalah pilih orang yang hendak dijadikan Perdana Menteri rupanya orang yang hendak bunuh parti kita, jadi macam mana? Terang-terang Bersatu ini ditubuhkan untuk membunuh UMNO itu sahaja tujuan,” katanya di Pagoh, semalam.

Bukan itu saja, Mohamad yang juga Ketua UMNO Bahagian Rembau itu berkata, Muhyiddin yang merupakan Presiden Bersatu itu ternyata tidak menggunakan kuasa mentadbir negara sebaiknya sehingga digelar kerajaan gagal.

“Dia (Muhyiddin) tidak menggunakan kuasa dengan baik tetapi niat jahat dia diteruskan untuk membunuh kita. Kita tidak boleh tahan lama dan tidak boleh duduk dalam keadaan begitu tambahan pula ternyata kerajaan yang dipimpin oleh PN gagal mengurus negara.

“Keadaan negara kita bertambah teruk selepas ambik dari PH tidak boleh urus COVID-19 dan ekonomi negara.

“Kita bercakap kadang-kadang dia tidak mahu dengar… saya baik dengan beliau selalu berjumpa dan saya juga mencadangkan bermacam-macam,” ujar beliau.

Jelas Mohamad lagi UMNO sebelum ini berhati-hati dengan PH namun Bersatu yang dianggap sebagai rakan bertindak sebaliknya dengan melakukan pelbagai helah bagi melemahkan UMNO.

“Sejak hari pertama PN ditubuhkan saya tidak bersetuju kerana bagi saya yang paling baik pada ketika itu adalah untuk kita mengadakan pilihan raya kerana pada ketika itu orang benci dengan PH dan menyanjung kita.

“Namun bak kata orang tua-tua kita melangkah tidak membaca sehinggakan masuk perangkap orang, keluar mulut singa masuk mulut buaya.

“Keluar dari PH ingat kita lega tetapi akhirnya dia memang hendak makan kita secara bersistematik, UMNO dilemahkan dalam kerajaan PN. Itu sebablah orang tua-tua kata dalam banyak-banyak lawan tidak ada kawan tetapi dalam berkawan ada lawan,” tegas beliau lagi.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat