Momen indah dalam sedekad

- Advertisement -

Perjalanan karier seni penyanyi Najwa Latif kini sudah mencecah 10 tahun dan pelbagai pencapaian sudah digenggamnya sepanjang tempoh terbabit.

Siapa sangka, wanita kelahiran Batu Bahat, Johor itu berjaya menakluk pasaran industri muzik seawal usia 14 tahun apabila percubaannya memuat naik video ‘cover’ lagu di YouTube membuahkan hasil.

Lebih menarik, single pertamanya berjudul Cinta Muka Buku meledak, sekali gus mengangkat namanya di persada seni suara sebagai penyanyi dikenali ramai.

Sedekad berada dalam industri seni, wanita berusia 26 tahun itu meluahkan rasa syukur dan tidak pernah menyangka namanya akan dikenali sehingga sekarang.

“Saya tak sangka sudah 10 tahun dalam industri seni. Malah, saya tak pernah rasa nama saya besar kerana mana-mana tempat yang saya pergi pasti akan bertanya dengan pengurus, adakah mereka masih mengenali saya?

“Sejujurnya saya rasa nama saya biasa-biasa saja. Ini kerana, masih banyak lagi yang perlu saya belajar dan perbaiki sebagai penyanyi.

“Tapi, apa yang mampu saya kongsikan selama 10 tahun ini adalah momen yang cukup berharga kerana dapat berjumpa ramai orang. Malah, saya teruja apabila dapat melihat perubahan yang baik dalam perjalanan karier saya.

“Kalau di awal pembabitan dalam industri seni dulu saya agak pendiam, tapi sekarang saya lebih yakin untuk berkomunikasi dengan orang luar selain banyak belajar cara untuk perbaiki teknik nyanyian,” katanya mengakui pengalaman sepanjang 10 tahun dalam industri cukup berharga dan mahal.

Melihat perjalanan karier seni Najwa selama sedekad ini semuanya indah, jarang sekali kita mendengar dia ada berdepan saat sulit atau sukar sebagai penyanyi.

Najwa berkata, dugaan yang dilalui mungkin tidak sehebat selebriti lain, namun ada satu cerita yang masih berbekas dan segar dalam ingatannya.

 

NAJWA akui pengalaman sepanjang 10 tahun dalam industri seni cukup berharga dan mahal.
NAJWA akui pengalaman sepanjang 10 tahun dalam industri seni cukup berharga dan mahal.

 

“Kalau cakap fasal momen susah atau sulit bergelar penyanyi, saya rasa pengalaman yang dilalui tidak sehebat orang lain. Mungkin orang lain lagi besar ujian dan lebih banyak yang mereka perlu hadapi.

“Tapi, macam saya, pengalaman yang memberi kesan mendalam adalah bila orang tahu sedikit sebanyak mengenai kisah keluarga saya, di mana ada perkara yang saya tidak selesa untuk bercerita pada ketika itu.

“Jadi, saya ambil pendirian untuk berdiam diri bila perkara berkaitan peribadi keluarga itu kecoh. Selain itu, saya rasa komen negatif yang diberikan orang luar kepada saya sedikit tekanan sebab saya datang dari kampung.

“Malah, saya juga bukan datang dari keluarga yang mempunyai latar belakang seni. Saya hanya orang biasa yang suka menyanyi.

“Jadi, bila ada rezeki terjun sebagai penyanyi, tapi bila baca komen negatif pasti saya rasa sedih dan kecewa,” katanya.

Tambah Najwa, dia bagaimanapun bersyukur kerana ibu sering memberikan kata-kata semangat meskipun pada awal kemunculan sebagai penyanyi ibunya kurang bersetuju.

“Kalau nak tahu, dulu mak saya tak berapa setuju bila saya nak menyanyi di usia yang masih mentah dan bersekolah.

“Mak lebih pentingkan akademik, tapi lama-kelamaan dia merestui dan selalu ingatkan saya supaya kuat dari segi fizikal dan mental. Katanya, ada perkara yang kita cuba sembunyi akan terbuka juga.

“Dan ada perkara yang kita tak nak bercakap, tapi kita kena cakap suatu hari nanti. Jadi, mak selalu pesan untuk saya kuat dan selalu ingatkan yang saya tidak membawa nama saya seorang sebaliknya nama keluarga, guru dan orang di sekeliling,” katanya.

Suka atau tidak, sebaik melangkah ke dunia glamor segala cerita kurang enak pasti akan dibongkar.

Najwa berkata, dia juga tidak terlepas daripada ‘momen hitam’ terbabit apabila kisah peribadi keluarganya mendapat perhatian.

“Pada ketika itu, saya bukan orang yang suka bercerita mengenai status keluarga saya. Tak semua orang boleh terima bila keluarga bercerai.

“Pada ketika itu, saya masih pada fasa tidak dapat menerima kenyataan. Lagi pula saya masih bersekolah dan memang tak suka nak kongsikannya. Tapi, sebab orang dah tahu, jadi sedikit sebanyak memberi kesan yang agak mendalam kepada diri saya.

 

NAJWA susun atur perancangan untuk karier dengan sebaik mungkin.
NAJWA susun atur perancangan untuk karier dengan sebaik mungkin.

 

“Sedih itu adalah perkara biasa, tapi kini saya anggap ia satu pengalaman yang ajar saya untuk mengatasi setiap perkara walaupun kita tidak selesa untuk bercakap.

“Macam sekarang saya memang tiada masalah untuk bercakap yang saya datang dari keluarga yang mak dan ayah saya sudah berpisah.

“Kadangkala apa yang berlaku pada masa lalu buat kita rasa mungkin ada patutnya untuk kongsikannya kerana bukan kita saja mengalami. Ada ramai orang yang menimpa nasib sama dan mungkin lebih teruk. Jadi, mungkin apa yang saya kongsikan dapat memberi kelegaan yang mereka tidak keseorangan,” katanya.

Terus cari ilmu

Bergelar pengajar di sebuah universiti swasta dan kini melanjutkan pelajaran ke peringkat doktor falsafah (PhD) dalam jurusan Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), baru-baru ini, Najwa ditanya mengenai apa lagi yang ingin dikejar dalam hidup.

Kata Najwa, di usia sekarang tiada apa yang ingin dikecapi selain mengikut apa yang sudah ditentukan oleh Allah buatnya.

“Saya percaya semakin kita belajar, semakin kita sedar betapa sedikitnya ilmu yang kita tahu. Ilmu itu sangat luas dan takkan pernah ada penghujung.

“Walaupun habis PhD nanti, saya masih akan terus belajar dan belajar lagi. Semua ini untuk kepuasan diri dan memajukan diri sebagai pendidik serta individu.

“Saya bersyukur dapat peluang sambung belajar lagi dan ia begitu seronok. Tapi, ini permulaan baharu untuk saya terus memperbaiki diri dalam subjek yang sangat dicintai iaitu TESL.

“Lagipun sekarang ini, kita tak boleh terlalu selesa dengan kedudukan sedia ada sebab banyak persaingan. Jadi, kita perlu susun atur perancangan untuk karier dengan sebaik mungkin,” katanya.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat