13 Mei Berulang: Kit Siang Patut Dikenakan Akta Hasutan – Zuraida

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – “Amaran” mengenai akan wujudnya lagi rusuhan kaum pada masa akan datang ini merupakan satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab oleh Veteran DAP, Lim Kit Siang.

Timbalan Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, tindakan provokatif Kit Siang dengan mengeluarkan kenyataan mengaitkan kononnya rusuhan kaum seperti insiden 13 Mei 1969, boleh berlaku lagi pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) disifatkan sebagai cubaan membawa polarisasi politik ini kepada perseteruan kaum boleh menggugat keamanan negara.

Hakikatnya kata Zuraida, tragedi seperti 13 Mei 1969 sememangnya harus diingati bagi memberikan pengajaran kepada seluruh rakyat Malaysia untuk lebih menghargai perpaduan yang terjalin antara kaum selama ini.

“Namun, untuk menggunakan tragedi tersebut sebagai alat propaganda politik adalah suatu perkara yang amat memalukan dan tidak seharusnya berlaku, lebih-lebih lagi oleh seorang ahli politik veteran seperti Kit Siang.

“Saya percaya, kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas pemimpin utama DAP tersebut adalah satu tindakan yang boleh menyebabkan hubungan etnik sesama kaum di Malaysia terjejas.

“Sewajarnya, dengan kenyataaan ini, Siang patut dikenakan tindakan dibawah Akta Hasutan kerana secara jelas telah menimbulkan provokasi yang amat melampau dengan menyentuh salah satu daripada 3R iaitu Agama (Religion), Bangsa (Race) dan Institusi DiRaja (Royalty).

“Kita melihat, percubaaKit Siang untuk mencetuskan polemik yang amat negatif semata-mata untuk menakut-nakutkan masyarakat bukan Melayu/Bumiputera dan membangkitkan kemarahan orang Melayu ini adalah satu tindakan bahaya yang perlu dibendung dengan segera,” seru beliau dalam kenyataan pada Khamis.

Sedangkan kata Zuraida pada ketika ini rakyat berbilang kaum sedang hidup aman damai sungguhpun berbeza fahaman politik.

“Pada hemat saya, Kit Siang sengaja membangkitkan insiden 13 Mei 1969, yang merupakan titik hitam dalam sejarah negara semata-mata untuk menakutkan rakyat, terutamanya untuk golongan bukan Bumiputera bagi mendapatkan sokongan mereka dalam PRN akan datang.

Dalam kenyataan yang sama juga, beliau mengandaikan bahawa suatu hari nanti akan ada Perdana Menteri dari kalangan etnik bukan Melayu dengan membuat perbandingan seperti Negara Amerika Syarikat yang pada tahun 2009 telah melantik Barack Obama sebagai pemimpin negara Uncle Sam tersebut.

“Ini merupakan satu provokasi yang amat jelas ke atas masyarakat Melayu/Islam di negara ini, kerana pada ketika ini, sungguhpun kita berada dalam ketidakstabilan politik yang nyata, tiada tanda-tanda langsung bahawa hubungan antara kaum di Malaysia terjejas,” bidas Zuraida.

Ujar beliau, mungkin secara zahirnya kita berbeza pandangan politik, yang mana sokongan orang Melayu pada ketika ini adalah tertumpu kepada Perikatan Nasional (PN) dan bukan Melayu lebih kepada Pakatan Harapan (PH), namun ia hanyalah lebih berfokus kepada amalan demokrasi semata-mata dan tidak langsung melibatkan apa jua isu perkauman.

“Persoalannya, mengapa Kit Siang yang pada suatu masa dahulu begitu lantang mengkritik kerajaan semasa beliau berada di kerusi parlimen pembangkang, kini gagal menilai prestasi kerajaan pada ketika ini, tetapi mengambil pendekatan untuk mengungkit semula tragedi yang telah mengorbankan ramai rakyat Malaysia.

“Sudah pasti, kenyataan yang dikeluarkan ini hanyalah untuk mengaburi mata rakyat daripada melihat secara jelas kegagalan pentadbiran Perdana Menteri Malaysia ke-10,” kata Zuraida.

Menurut beliau lagi, umum mengetahui bahawa pada ketika ini PH yang semakin tidak disenangi oleh sebilangan besar pengundi Melayu/Bumiputera amat takut dengan “Gelombang Hijau” yang dibawa oleh PN.

“Oleh yang demikian, para pemimpin dan pentaksub Pakatan Harapan akan menggunakan apa cara sekalipun untuk menakutkan rakyat dengan tuduhan-tuduhan yang tidak berasas.

“Kita sudah melihat bagaimana tenang dan aman rakyat Malaysia berhadapan dengan pertukaran kerajaan pada tahun 2018 dan seterusnya berhadapan dengan beberapa pertukaran Perdana Menteri selepas itu.

“Ini menunjukkan bahawa, kita sebagai sebuah negara telah mengorak langkah kematangan demokrasi baharu, yang pada suatu masa dahulu dianggap sukar untuk dicapai ataupun mungkin mustahil,” katanya.

Terdahulu Kit Siang memberi amaran negara sedang menuju ke arah rusuhan kaum seperti mana yang berlaku lebih lima dekad lalu, sambil mengingatkan Perlembagaan Persekutuan menjamin kesaksamaan semua kaum termasuk tidak menghalang bukan Melayu memengang jawatan tertinggi negara.

“Selepas 54 tahun, Malaysia semakin hampir-hampir ke arah tepian sebuah lagi rusuhan 13 Mei 1969,” kata Lim dalam kenyataannya menyelar Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang mengutuk penangkapan dan pendakwaan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor kelmarin.

“Bolehkah semua parti politik dan calon dalam pilihan raya enam negeri pada 12 Ogos membuat pengisytiharan bahawa mereka tidak mahu rusuhan 13 Mei 1969 berulang di Malaysia dan menegaskan relevannya prinsip membina negara yang terkandung dalam Rukun Negara demi sebuah Malaysia yang majmuk?” soal Kit Siang.

Beliau malah turut mengingatkan, Perlembagaan tidak melarang bukan Melayu menjadi perdana menteri, dan menambah pemimpin pengasas terdahulu tidak mempunyai masalah dengan senario sedemikian.

Bagaimanapun, Kit Siang berkata soal sama ada bukan Melayu akan memegang jawatan tertinggi di Malaysia seperti mana Barack Obama menjadi presiden kulit hitam pertama di Amerika Syarikat pada 2008, merupakan isu berasingan.

“Saya tidak fikir akan melihat seorang bukan Melayu menjadi perdana menteri dalam hidup saya mahupun hidup anak-anak saya,” kata Lim.

“Dengan kejayaan bersejarah Obama, ramai rakyat Malaysia bertanyakan sama ada Cina, India, Kadazan atau Dayak boleh menjadi perdana menteri Malaysia walaupun Perlembagaan amat jelas bahawa mana-mana warganegara Malaysia, tanpa mengira kaum atau agama, boleh menjadi perdana menteri,” tambahnya.

Menurut beliau, hubungan kaum Malaysia “semakin merosot” tahun ini, dan berkata Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos nanti akan menunjukkan sama ada Malaysia boleh kembali kepada “prinsip asal bina negara untuk sebuah Malaysia majmuk”.

Rusuhan kaum 1969 merujuk kepada keganasan antara etnik Melayu dan Cina selepas pilihan raya umum tahun itu yang menyaksikan penambahan sokongan untuk parti berasaskan bukan Melayu dan pengurangan kerusi gabungan pemerintah yang dipimpin Umno.

Episod itu dianggap sebagai peristiwa hitam dalam sejarah Malaysia selepas kemerdekaan, dengan pihak berkuasa kerap memberi amaran kepada orang ramai tidak menganjurkan sebarang perbincangan terbuka mengenai topik itu.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat