OPR Kekal 2.75 Peratus, Lepas Empat Kali Kenaikan – BNM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus.

Keputusan berkenaan dilihat agak mengejutkan selepas empat kenaikan berturut-turut.

Kenaikan empat kali berturut-turut dicatatkan sejak tahun lalu bermula Mei, Julai, September dan November 2022, dengan masing-masing meningkat sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus berbanding paras rekod terendah 1.75 peratus sebelumnya.

BNM berkata, ekonomi global terus terjejas akibat tekanan kos yang kekal tinggi, kadar faedah yang lebih tinggi serta gangguan berkaitan Covid-19 di China. “Kesan faktor-faktor ini melebihi kesan sokongan daripada keadaan pasaran pekerja yang positif serta pembukaan semula sepenuhnya ekonomi dan sempadan antarabangsa.

“Inflasi keseluruhan menurun sedikit daripada paras tinggi sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Bagaimanapun, inflasi teras terus kekal melebihi purata yang pernah dicatatkan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, bagi menguruskan tekanan inflasi, bank-bank pusat dijangka terus menaikkan kadar faedah, meskipun pada kadar yang lebih perlahan.

“Tindakan ini akan menyebabkan prospek pertumbuhan global terus menghadapi rintangan.

“Namun, pertumbuhan di China dijangka bertambah baik apabila gelombang semasa Covid-19 di negara itu reda.

“Prospek pertumbuhan terus bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi lebih perlahan, termasuk ketegangan geopolitik yang semakin meruncing, pertumbuhan sebenar di ekonomi utama yang lebih lemah daripada jangkaan dan keadaan pasaran kewangan yang menjadi ketat secara ketara,” katanya.

BNM berkata, bagi Malaysia, data terkini menunjukkan bahawa ekonomi terus berkembang pada suku terakhir tahun 2022 disebabkan oleh permintaan dalam negeri yang berdaya tahan.

“Hasilnya, pertumbuhan tahun 2022 dijangka melebihi julat unjuran awal, iaitu 6.5 peratus hingga 7.0 peratus.

“Selepas mencatatkan prestasi yang kukuh pada tahun 2022, pertumbuhan pada tahun 2023 dijangka sederhana berikutan ekonomi global yang lebih perlahan.

“Pertumbuhan akan terus disokong oleh permintaan dalam negeri. Perbelanjaan isi rumah akan disokong oleh prospek pekerjaan dan pendapatan yang terus bertambah baik.

“Ketibaan pelancong terus bertambah, lantas menggiatkan lagi sektor berkaitan pelancongan.

“Pelaksanaan projek infrastruktur berbilang tahun akan menyokong aktiviti pelaburan. Risiko pertumbuhan ekonomi dalam negeri menjadi perlahan terus berpunca daripada pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan, aktiviti penghindaran risiko yang lebih tinggi dalam pasaran kewangan global berikutan dasar monetari yang semakin ketat secara lebih agresif di ekonomi utama, konflik geopolitik yang semakin meruncing serta gangguan ketara pada rantaian bekalan yang kembali wujud,” katanya.

Inflasi keseluruhan pada tempoh bulan Januari hingga November 2022 berpurata sebanyak 3.4 peratus.

“Seperti yang diunjurkan, inflasi keseluruhan mencapai tahap tertinggi pada suku ketiga tahun 2022, manakala purata inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, adalah sebanyak 2.9 peratus hingga bulan November 2022.

“Bagi keseluruhan tahun 2023, inflasi keseluruhan dan inflasi teras dijangka sederhana namun kekal pada tahap yang tinggi berikutan tekanan permintaan dan kos yang berlarutan.

“Kawalan harga dan subsidi bahan api sedia ada serta lebihan kapasiti dalam ekonomi yang masih ada akan terus membendung sebahagian daripada tahap tekanan inflasi yang meningkat,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat