KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyambut baik saranan Sultan Pahang Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya penggunaan rokok elektronik atau vape diharamkan secara total.
Khairy dalam hantaran Instagram Storiesnya pada Selasa berkata, beliau sebelum ini pernah mengusulkan peruntukan generasi penamat rokok (GEG) namun ditolak kerajaan.
“Patik sudah usulkan GEG.
“Tapi ada kerajaan yang tolak,” catat Khairy.
Pada Nov 2023, peruntukan mengenai larangan penjualan produk tembakau dan rokok serta larangan merokok digugurkan daripada RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023.
Berdasarkan RUU sebelum ini, yang lebih dikenali sebagai RUU GEG dan dibentangkan bagi bacaan kali pertama pada 12 Jun tahun lalu, terdapat empat peruntukan berkaitan larangan yang dikenakan terhadap individu yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya.
Ia merangkumi Perkara 13, 14, 18 dan 19, iaitu larangan penjualan produk tembakau, bahan merokok, merokok produk tembakau dan merokok produk pengganti tembakau bagi orang yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya.
Di bawah RUU yang dibentangkan bekas Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa, di bawah Perkara 17 (1) larangan merokok dan menggunakan produk tembakau dikenakan kepada bagi orang belum dewasa iaitu di bawah usia 18 tahun.
Pada 18 November 2023 lalu, bekas Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, dipetik berkata peruntukan di bawah RUU itu bercanggah dengan Perkara 8 Perlembagaan memandangkan ia mewujudkan layanan undang-undang tidak sama rata antara seseorang yang lahir sebelum 1 Januari 2007 dan individu dilahirkan pada dan selepas tarikh sama.
Jabatan Peguam Negara (AGC) merujuk kepada kenyataan Khairy yang disiarkan dalam portal badan pemerhati kesihatan, CodeBlue pada 14 November tahun lalu.
Semalam, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyarankan agar penggunaan rokok elektronik atau vape diharamkan secara total.
Baginda bertitah, saranan itu dibuat susulan kebimbangan baginda terhadap penyalahgunaan dadah yang semakin meningkatkan di Pahang terutamanya dalam kalangan belia berdasarkan statistik oleh Agensi Anti Dadah Kebangsan (AADK).
Titah baginda, antara punca utama golongan muda terjebak dalam ketagihan dadah secara langsung dan tidak langsung bermula dengan penggunaan vape.
“Alat vape ini adalah alat yang merosakkan kesihatan. Saya akan menyuarakan kepada kerajaan supaya vape perlu diharamkan secara total.
“Tidak perlu diberi pertimbangan sewajarnya, bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia,” titah baginda.
Al- Sultan Abdullah bertitah, berdasarkan rekod AADK, Pahang merupakan negeri kelima teratas di seluruh negara dengan 11,750 penagih.
Titah baginda, daripada jumlah itu, sebanyak 57 peratus daripadanya adalah penagih muda yang berusia 15 hingga 30 tahun.
“Ini peluang saya untuk membuat kenyataan tentang kebimbangan saya terhadap pasal isu dadah khususnya di sekolah -sekolah di negeri Pahang, sudah sampai masanya ibu bapa di negeri ini tidak kira sama ada anak mereka terlibat nak minta mereka bantu.
“Ini satu angka yang membimbangkan, kalau ini kita tidak beri perhatian mungkin angka ini akan bertambah,” titah baginda.