Nafas ada 42 isu tadbir urus, tata kelola sejak 2018 dedah Mat Sabu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Mohamad Sabu hari ini mendedahkan sebanyak 42 isu tadbir urus dan tata kelola dalam Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dikenal pasti melalui Laporan Pengauditan Khas pada 2018.

Menurut Mohamad, Nafas telah diberikan kontrak pembekalan baja secara runding terus bermula tahun 1979.

Jelas beliau, Nafas mempunyai 16 syarikat subsidiari dan daripada jumlah tersebut, hanya empat syarikat subsidiari yang berkaitan kontrak baja yang mencatatkan keuntungan.

“Ini menjejaskan peranan Nafas untuk berfungsi sebagai pertubuhan yang memajukan kepentingan ekonomi dan sosial atau kebajikan anggotanya.

“Berdasarkan Laporan Pengauditan Khas Tahun 2018 oleh Pendaftar Pertubuhan Peladang, terdapat 42 isu tadbir urus dan tatakelola ditemukan yang perlu kepada tindakan dan penambahbaikan.

“Namun tindakan penambahbaikan tidak dapat dilaksanakan akibat peralihan Kerajaan pada ketika itu,” katanya pada sesi pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, pada Selasa.

Mohamad berkata demikian bagi menjawab soalan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) yang meminta penjelasan berkaitan kontroversi yang berlaku dalam Nafas dan apakah hala tuju KPKM dalam menstruktur semula Nafas.

Ekoran itu beliau memaklumkan, ketika ini Nafas ditadbir oleh pentadbir yang dilantik oleh Pendaftar yang tertakluk kepada arahan daripada pendaftar.

Ujar Mohamad, pada masa yang sama, pendaftar juga telah melantik Majlis Penasihat bagi menasihati Pendaftar dan Pentadbir berdasarkan peruntukan di bawah Seksyen 7(1) Akta Pertubuhan Peladang 1973 [Akta 109].

“Laporan pihak pendaftar Pertubuhan Peladang sepanjang tempoh penggantungan perlembagaan Nafas akan dilaporkan terus kepada Kabinet dari semasa ke semasa.

“Operasi, obligasi dan kewajipan Nafas kepada mana-mana pihak ketiga adalah tidak terjejas dan akan dilaksanakan serta diteruskan oleh pentadbir.

“Bagi urusan perniagaan Nafas yang melibatkan pembekalan baja padi kepada pesawah, ia langsung tidak terjejas dan berjalan seperti biasa di bawah bidang kuasa pentadbir Nafas,” katanya.

Kata Mohamad lagi, sepanjang tempoh penggantungan ini, Pendaftar Pertubuhan Peladang akan memantau urusan harian Nafas

“Di samping menambah baik tadbir urus dan tatakelola Nafas bagi memperkasa semula Nafas secara holistik.

“Ini untuk memastikan Nafas beroperasi mengikut hala tuju dan spirit penubuhan Nafas selaras dengan perundangan yang sedang berkuat kuasa,” ujar beliau.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat