Demi kestabilan, undi percaya kepada PM harus dibawa ke Dewan Rakyat – Zahid

- Advertisement -

CYBERJAYA: Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa agar usul undi percaya kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dibawa ke Dewan Rakyat demi kestabilan politik negara.

Ketika berucap membahaskan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat hari ini, Zahid yang juga presiden UMNO itu berkata, dalam politik harus ada kejujuran dan rakyat harus diberi keutamaan dalam sebuah kerajaan.

“Rakyat harus diberi keutamaan, usul undi percaya harus dibawa ke dewan ini…sesuatu mesti dilakukan biarlah kerajaan sendiri menjadikan usul undi percaya sebagai aturan kerajaan dan di bawa ke dewan yang mulia ini.

“Proklamasi darurat bukan pilihan, apatah lagi proklamasi darurat seluruh negara wajib ditolak,” katanya lagi.

Bagaimanapun kata Zahid, pihaknya menyokong penuh proklamasi darurat di sesuatu tempat seperti di Batu Sapi, bagi mengelak Pilihan Raya Kecil (PRK).

Pada 29 Oktober lalu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil memaklumkan bahawa terdapat dua usul undi percaya menyokong perdana menteri, dikemukakan kepada Dewan Rakyat.

Kedua-dua usul tersebut datangnya daripada ahli Parlimen kerajaan iaitu ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Ahli Parlimen Pasir Puteh Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh daripada PAS.

Manakala pembangkang mengemukakan 25 usul undi tidak percaya kepada Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu.

“Seramai 25 ahli Parlimen pembangkang mengemukakan usul menentang Perdana Menteri berdasarkan draf Aturan Urusan Mesyuarat pada sidang Parlimen, 2 November ini,” kata Fahmi.

Sementara itu kata Zahid, dalam politik perlu ada kejujuran, perlu ada persefahaman sama ada secara piagam, secara bertulis mahupun konvensyen.

Beliau mengingatkan agar dicontohi teladan perjanjian tahkim dalam sirah Islam yang berkait dengan muslihat dalam kerjasama politik sehingga menyaksikan kejatuhan sebuah kerajaan.

“Secara tersurat atau tersirat…tiada soalan siapa berbudi atau yang terhutang budi, soal tipu muslihat harus jangan ada, jangan telunjuk lurus kelingking berkait.

“Ambil lah ibrah sirah perjanjian tahkim, supaya perjanjian tahkim yang berbentuk muslihat politik tidak berlaku. Kejatuhan pemimpin-pemimpin dulu bila pemimpinnya merasakan dirinya popular,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat