Umat Islam dibenar solat dalam Masjidilharam

- Advertisement -
AFP

Makkah: Selepas tujuh bulan ditutup, Arab Saudi kini membenarkan umat Islam menunaikan solat di dalam Masjidilharam.

Kelonggaran itu sejajar dengan usaha pihak berkuasa yang membenarkan kapasiti jemaah umrah dinaikkan kepada 15,000 orang.

Bagaimanapun, rakyat dan penduduk negara itu yang dibenarkan berbuat demikian perlu mematuhi langkah pencegahan Covid-19 termasuk memakai pelitup muka.

“Rakyat dan penduduk sudah dibenarkan untuk solat Subuh hari ini di Masjidilharam,” kata media rasmi Saudi Press Agency.

Awal bulan ini, Arab Saudi membenarkan sehingga 6,000 rakyat dan penduduknya, sehari, bagi menunaikan ibadah umrah yang pelaksanaannya sebelum ini digantung pada Mac.

Bagi peringkat kedua bermula Ahad, angka itu dinaikkan kepada 15,000 orang sehari.

Pada satu-satu masa, sebanyak 40,000 orang termasuk jemaah umrah dibenarkan untuk menunaikan solat di dalam Masjidilharam.

Mulai 1 November, pengunjung dari luar negara mula dibenarkan untuk memasuki negara untuk menunaikan umrah.

Ia bakal menyaksikan kapasiti jemaah umrah dinaikkan kepada 20,000 orang dengan 60,000 orang di dalam masjid pada satu-satu masa.

Bagaimanapun, jemaah tidak dibenarkan untuk menyentuh Hajar Aswad.

Masjidilharam akan disterilkan sebelum dan selepas setiap kumpulan jemaah. Selain itu, sensor suhu dipasang untuk memeriksa suhu badan jemaah, kata pihak berkuasa Makkah.

Sebelum ini, pada akhir Julai, Arab Saudi membenarkan pelaksanaan ibadah haji dengan jumlah terkecil dalam sejarah dunia moden.

Hanya sehingga 10,000 jemaah terdiri daripada penduduk negara itu dibenarkan berbuat demikian, berbanding 2.5 juta orang pada tahun lalu.

Setakat ini, Arab Saudi sudah merekodkan lebih 342,000 kes Covid-19 dengan 5,185 kematian.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat