Animasi padat ilmu

- Advertisement -

TINDAKAN penghijrahan dalam kehidupan yang dibuat pada 2011 lalu, nyata memberi kebahagiaan buat pelakon dan pengacara Diana Amir.

Diana yang kini bergelar aktivis masyarakat, selesa menumpukan perhatian sebagai isteri kepada Mohd Habibbullah A Rahman yang dikahwini sejak Oktober 2013 dan membesarkan tiga anaknya.

Selaku wanita berkeluarga kini katanya, kehidupan peribadi boleh dianggap lengkap dengan kehadiran cahaya mata iaitu Khaulah Al Azwar, 5, Khadija Azzehra, 3, dan Muhammad Khalid Al Habib, 1.

Sebagai seorang ibu, Diana, 36, yang pernah membintangi beberapa filem antaranya Aku Masih Dara, 3,2,1 Cinta dan 7 Petala Cinta sentiasa menitik beratkan perkembangan anak-anaknya.

Dia mengakui bimbang dengan kandungan program televisyen terutama animasi yang kurang sesuai dengan golongan kanak-kanak.

Lantas ini mendorong Diana untuk menghasilkan program hiburan buat kanak-kanak mengikut acuannya sendiri yang berteraskan Islamik.

“Saya diberikan kepercayaan dan peluang oleh Nurflix.TV untuk bekerjasama dengan mereka bagi menerbitkan program yang memberi manfaat kepada golongan kanak-kanak.

“Tawaran serta kepercayaan ini ibarat satu rezeki buat saya, apabila memberanikan diri menyahut cabaran demi menjadi muslimah yang lebih baik pada masa depan.

“Saya dapati ada segelintir ibu bapa yang sememangnya selektif mencari program bersesuaian untuk ditonton anak-anak mereka. Hanya program ilimiah saja lebih menjadi pilihan mereka tonton,” katanya.

Justeru, menerusi syarikat produksinya dikenali Bin Amir Production, Diana kini giat menghasilkan beberapa program untuk saluran platform digital, Nurflix.TV menerusi slot Nurkids.

Nurkids menawarkan pelbagai variasi program menarik serta menghiburkan terdiri daripada sitkom berbentuk kekeluargaan serta akademik, drama superhero, masakan, bacaan dan hafazan al-Quran sehinggalah gameshow.

“Saya dalam proses menyiapkan dua program hiburan menarik untuk kanak-kanak iaitu Pendekar Cilik dan The Khadijah’s.

“Bagi memenuhi konsep rancangan Pendekar Cilik, kami sekarang dalam proses membuat pemilihan pelakon kanak-kanak yang mahir dalam ilmu mempertahankan diri.

“Produksi saya sedang bawa beberapa kanak-kanak ini memasuki kelas silat, kemudian barulah diadakan sesi uji bakat terhadap mereka yang dipilih itu,” katanya.

Menurutnya, The Khadijah’s pula adalah sebuah program yang memaparkan beberapa kehidupan beberapa selebriti popular tanah air yang sedang mendekati agama.

Sehubungan itu, antara artis dan selebriti yang menjayakan program terbabit ialah Lisa Surihani, Amirah Othman, Hawa Rizwana, Ernie Zakri dan beberapa artis lain.

“Ia dihasilkan sebanyak 12 episod dan harapan saya agar lebih banyak siri terbaik buat tontonan kanak-kanak dapat dihasilkan lagi pada masa akan datang untuk manfaat bersama,” katanya

Terdahulu, Diana meluangkan masa menghadiri majlis perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) serta pelancaran program Nurkids & Turath yang berlangsung di Shah Alam baru-baru ini.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat