Lebih baik kenal saya dahulu – Ezurin Khyra

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ikon fesyen dan sosialit terkenal, Ezurin Khyra sedia menerima komen orang ramai apabila kehidupan peribadi dipaparkan dalam musim keempat program realiti, The House.

Ezurin berkata, sebelum ini, kehidupannya hanya boleh dilihat melalui Instagram, kali ini, penonton dapat mengenali dirinya dengan lebih dekat.

“Melalui Instagram, saya ada kongsi sedikit kehidupan peribadi. Apabila orang ramai menonton program ini, anda semua boleh tahu dari mana saya berasal.

“Dalam kehidupan, kita perlu seimbang. Saya tidak kata saya dan keluarga sempurna. Jadi, anda kena tonton dahulu baru anda boleh lihat sisi saya yang berbeza.

 

Digelar ikon fesyen, Ezurin mengaku menukar persalinan sekurang-kurangnya empat kali sehari. Foto Ihsan Astro
Digelar ikon fesyen, Ezurin mengaku menukar persalinan sekurang-kurangnya empat kali sehari. Foto Ihsan Astro

 

“Saya bukan sekadar sukakan fesyen, sebaliknya, saya juga ibu yang garang,” katanya kepada BH Online.

Ezurin berharap paparannya dalam The House dapat memberi sesuatu yang positif.

“Motif utama saya terbabit dalam program ini adalah untuk menyampaikan sesuatu yang baik,” katanya.

Ezurin atau lebih dikenali sebagai Princess E mengaku mengambil masa hampir setahun untuk bersetuju agar kehidupan privasi dirinya dan keluarga dipaparkan di kaca televisyen (TV).

Ezurin menganggap sekarang adalah masa yang sesuai kerana seboleh-bolehnya dia mahu kelima-lima anaknya terbabit dalam program berkenaan.

“Anak-anak saya belajar di London. Disebabkan pandemik COVID-19, mereka pulang ke Malaysia. Jadi, saya bersetuju menyertai The House kerana mereka ada di sini.

“Lebih menarik sekiranya saya memaparkan kehidupan bersama anak-anak dan bapa mereka,” katanya yang sering mengembara ke seluruh dunia.

Lima anak Ezurin iaitu Tunku Amaan Khyra, Tunku Nadya Khyra, Tunku Omaan Khyra, Tunku Imaan Khyra dan Tunku Rmaan Khyra turut menjayakan program berkenaan, bersama rakan karibnya, Magie Abang Saufi.

Berkongsi perkara menarik mengenai penggambaran program yang dirakam Ogos hingga September lalu itu, Ezurin berkata, dia bertukar busana paling kurang empat kali sehari.

“Jujurnya, saya memang membawa selori pakaian untuk penggambaran program ini. Seperti kita makan beberapa kali dalam sehari, saya gemar menukar baju paling kurang empat kali sehari.

“Sebab saya suka fesyen, saya rasa tidak lengkap sekiranya saya tidak tukar baju dalam sehari,” katanya.

Bukan saja pakaian, Ezurin juga tampil dengan gaya rambut dan solekan berbeza dalam setiap babak yang dirakam di sekitar Hulu Langat itu.

Sementara itu, Ezurin menjawab persepsi orang ramai mengenai penampilannya yang seksi. Ezurin menjelaskan, pemakaian bukanlah gambaran sebenar dirinya.

“Sudah pasti kalau saya pergi ke pantai, saya akan mengenakan pakaian sesuai. Saya rasa anda kena kenali saya dulu sebelum mengadili.

“Cara saya berpakaian bukanlah memberi gambaran sifat dalaman saya. Apa yang kita pakai juga tidak menentukan siapa anda sebenarnya,” katanya yang pernah mendirikan rumah tangga dengan kerabat diraja.

The House akan disiarkan selama 10 episod di saluran Astro Ria (124) dan Astro Ria HD (104) bermula Rabu ini, pada jam 9 malam.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat