Ketua Cabang gesa rombak kepimpinan PKR Sabah

- Advertisement -

KOTA KINABALU – Rombakan kepimpinan negeri perlu dilakukan jika Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) sudah hilang sokongan majoriti.

Ketua Cabang PKR Pensiangan, Raymond Ahuar berkata, umum mengetahui di Sabah terdapat 26 cabang termasuk Labuan dan 15 daripadanya telah menandatangani akuan bersumpah (SD) menolak kepimpinan Datuk Sangkar Rasam sebagai Pengerusi MPN Sabah.

“Ini bermakna hanya 11 ketua cabang tidak terlibat. Namun daripada 11 yang tinggal, hanya tujuh yang benar-benar bersama beliau manakala empat lagi memilih untuk berkecuali.

“Jadi di mana asas kenyataan bahawa Sangkar masih kukuh bagi memimpin parti negeri ini? Dalam kenyataan sebelum ini telah dimaklumkan kegagalan Sangkar sebagai Pengerusi yang dilihat tidak mampu memperkasa parti malah beberapa cadangan ketua cabang tidak dilaksana termasuk latihan-latihan kepimpinan dan politik,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Raymond berkata lagi, Sangkar juga gagal menunaikan janji yang diberikan kepada ketua-ketua cabang yang menyokong beliau sebelum ini yang akhirnya menyaksikan mereka ini bertindak menentang beliau atas kegagalan ini.

“Dakwaan bahawa Sangkar dikekalkan selepas penstrukturan semula pengerusi-pengerusi PKR seluruh Malaysia juga sebenarnya tidak tepat.

“Jelas dalam kenyataan Setiausaha Agung PKR sebelum ini, penstrukturan yang dibuat baru-baru ini hanya melibatkan enam negeri di Semenanjung memandangkan sebelum ini jawatan Pengerusi dipegang oleh Timbalan dan Naib-Naib Presiden parti.

“Di sini jelas penstrukturan hanya melibatkan negeri terlibat kecuali Sabah dan Sarawak. Jadi di mana asas dakwaan Pengerusi Sabah kononnya dikekalkan selepas penstrukturan semula?,” katanya.

Sebelum itu, Raymond mengambil maklum dengan kenyataan Setiausaha MPN PKR Sabah, Simsudin Sidek yang mendakwa PKR di negeri ini masih kukuh di bawah pimpinan Sangkar.

“Sebagai Setiausaha MPN beliau sepatutnya maklum bahawa Fasal 21.8 perlembagaan parti iaitu Pengerusi negeri yang dilantik hanya dipilih setelah berunding dengan ketua-ketua cabang dan mendapat sokongan majoriti.

“Kenyataan secara tergopoh-gopoh oleh Simsudin ini hanya menimbulkan presepsi buruk terhadap Presiden parti oleh akar umbi PKR seolah menuduh Presiden melantik semula Sangkar tanpa berunding dengan ketua-ketua cabang yang jelas melanggar perlembagaan.

“Beliau juga mempergunakan Ketua Cabang Semporna yang pada ketika Mesyuarat Negeri, tidak menyertai 15 Ketua Cabang keluar meninggalkan mesyuarat.

“Ini hanya sebagai tindakan mengaburi mata sedangkan Ketua Cabang Semporna adalah salah seorang yang menandatangani SD tidak percaya terhadap kepimpinan Sangkar,” katanya.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan 15 ketua cabang PKR di Sabah sebulat suara menolak kepimpinan Sangkar sebagai Pengerusi MPN Sabah. – Sinar

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat