Dayang guna pemuzik filem Parasite, Squid Game hasil Belagu 11

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bukan trofi atau sanjungan diharapkan penyanyi bersuara lunak merdu, Dayang Nurfaizah, 41, apabila menghasilkan album kontemporari klasik berjudul Belagu yang menemui khalayak, tahun lalu.

Malah, tiada sekelumit terdetik dalam hati untuk Dayang mengejar sebarang anugerah ataupun pengiktirafan yang boleh dijadikan motivasi di sebalik pembikinan album itu.

Sebaliknya, kata Dayang, segala-galanya dilakukan atas satu tujuan, iaitu mahu memartabatkan ritma Melayu Klasik supaya terus dipandang tinggi dan kekal malar segar.

Justeru, apabila album diterbitkan Aubrey Suwito mendapat enam pencalonan dalam Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-23.

Bagaimanapun, album Belagu hanya mengungguli tiga kategori iaitu Rakaman Lagu Terbaik menerusi lagu Tudung Periuk, Rakaman Album Terbaik (Belagu) dan Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu (Tudung Periuk) pada malam kemuncak AIM 23, minggu lalu.

Pemilik nama lengkap Dayang Nurfaizah Azwang Dowty sukar menterjemahkan perasaan dengan kata-kata.

“Sejujurnya, saya tak sangka album Belagu ini adalah projek khas, semuanya lagu lama diberi nafas baharu.

“Saya tidak menaruh harapan menang trofi utama. Dapat pencalonan terbanyak pun sudah memadai dan cukup menggembirakan saya serta pemuzik yang terbabit dalam pembikinannya.

“Album Belagu memang membawa makna besar kerana proses pembikinannya cukup mencabar selain terpaksa mempromosikannya ketika negara berada dalam fasa keempat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya kepada BH Online.

 

Dayang menjalani sesi rakaman album kesinambungan kepada Belagu iaitu Belagu 11 bersama pemuzik Budapest Scoring Orchestra di Budapest, baru-baru ini. - Foto IG Dayang Nurfaizah
Dayang menjalani sesi rakaman album kesinambungan kepada Belagu iaitu Belagu 11 bersama pemuzik Budapest Scoring Orchestra di Budapest, baru-baru ini. – Foto IG Dayang Nurfaizah

 

Sebagai album yang turut mendapat pembiayaan kerajaan menerusi pemberian Dana Kandungan Digital (DKD) Muzik yang diwujudkan dua tahun lalu, bintang yang mula meledak menerusi lagu Seandainya Masih Ada Cinta ini menyifatkan kejayaan diraih album Belagu sebagai sesuatu berbaloi untuk mereka yang terbabit dalam proses pembikinannya.

“Kos pembikinan album Belagu dibiayai kerajaan menerusi pemberian DKD Muzik. Disebabkan itu, Dayang berusaha untuk menghasilkan album berkualiti, bukannya tangkap muat.

“Jika sebelum ini mungkin ada yang agak skeptikal apabila mendapat tahu yang saya antara penerima dana, percayalah saya berusaha sehabis baik untuk memastikan insentif diberikan berbaloi dan menepati piawaian,” ungkap penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak ini.

Dayang baru sahaja pulang dari Budapest, Hungary untuk menjalani sesi rakaman album kesinambungan kepada Belagu iaitu Belagu 11.

Apa yang menarik mengenai pembikinan album Belagu 11 adalah Dayang menggunakan khidmat pemuzik Budapest Scoring Orchestra yang mempunyai reputasi cemerlang dalam portfolio mereka.

“Bila saya dengar lagu Melayu Klasik dimainkan dengan sangat bagus oleh pemuzik bertaraf antarabangsa seperti kumpulan orkestra ini, saya sebak, bangga dan teruja.

“Mereka bukan calang-calang pemuzik kerana pernah menghasilkan skor muzik buat Filem Terbaik, Anugerah Akademi atau Oscar 2020 iaitu Parasite.

“Malah, pemuzik ini juga menjadi nadi utama bagi skor muzik siri yang mencetus fenomena seluruh dunia iaitu Squid Game, selain pernah bekerjasama dengan penyanyi tersohor dunia seperti Stevie Wonder, Michael Buble dan produser muzik hebat, David Foster,” cerita Dayang.

 

Dayang sanggup berhabis duit demi mengangkat martabat genre Melayu Klasik dengan menghasilkan album Belagu 11 di Budapest. - Foto IG Dayang Nurfaizah
Dayang sanggup berhabis duit demi mengangkat martabat genre Melayu Klasik dengan menghasilkan album Belagu 11 di Budapest. – Foto IG Dayang Nurfaizah

 

Walaupun kos pembikinan album Belagu 11 agak tinggi, namun Dayang berkata, dia tidak kisah berhabisan asalkan niatnya mengangkat melodi Melayu Klasik ke darjat lebih tinggi selain kekal malar segar dengan sentuhan susunan muzik baharu menjadi kenyataan.

“Tak dinafikan kos pembikinan album ini agak tinggi berbanding album Belagu. Tetapi, saya bersyukur kerana selain perbelanjaan sendiri, album Belagu 11 turut dibiayai kerajaan menerusi pemberian DKD Muzik.

“Sokongan diberikan sangat membantu,” luah Dayang.

Terdahulu, album Belagu pernah melakar sejarah apabila berjaya menduduki carta nombor satu di iTunes, sekali gus menjadikannya album penyanyi tempatan paling laris dijual selepas dua jam dilancarkan.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat