Pemilihan dulu sebelum PRU undang keretakan, perpecahan dalam parti – Isham Jalil

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil mendakwa ada segelintir pemimpin pro-Bersatu dalam UMNO yang mahu UMNO membuat pemilihan parti dahulu sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan.

Beliau menegaskan langsung tidak bersetuju dengan saranan ini.

“Adat Melayu mengajar kita mengikut tertib, dan jangan dilangkah bendul, nanti kaki tersadung dan tersungkur.

“Tertib yang baik dan menjadi amalan dalam UMNO sebelum ini adalah jika jarak pilihan raya umum dan pemilihan UMNO itu tidak jauh, adalah lebih elok kita menghadapi pilihan raya umum dahulu sebelum pemilihan UMNO dibuat, dan bukan sebaliknya.

“Jika kita tunggu sehingga 2023 untuk buat pilihanraya, maka maknanya kita perlu buat pemilihan UMNO dahulu pada November 2022 sebelum pilihan raya umum diadakan enam atau tujuh bulan selepas itu. Langkah bendul yang tidak mengikut tertib ini akan merugikan kita,” kata Isham di Facebooknya pada Jumaat.

Hujah beliau lagi, hal ini kerana jika kita buat pemilihan UMNO dahulu sebelum pilihan raya, akan ada keretakan dan perpecahan yang tidak akan sempat sembuh sebelum pilihan raya.

Tegas Isham ini akan memberi kesan negatif kepada kesiapsiagaan kita untuk menghadapi pilihan raya umum.

“Untuk berhadapan dengan pilihan raya umum, UMNO tidak boleh mengambil risiko perpecahan dalaman yang akan terjadi apabila pemilihan UMNO dibuat sebelum pilihan raya, terutama jika ada agenda untuk sesetengah pihak menggunakan jawatan, sumber dan kuasa mereka dalam kerajaan untuk merampas kuasa dalam UMNO sebelum pilihan raya umum.

“Lebih-lebih lagi jika pihak-pihak ini ditaja oleh Bersatu dan menyokong pengkhianat-pengkhianat UMNO daripada Bersatu.

“Pilihan raya tidak semestinya dibuat tahun ini, ia boleh dibuat tahun depan apabila Undi 18 berkuatkuasa dan sebelum pemilihan UMNO dibuat pada bulan November 2022,” ujar beliau.

Dalam pada itu kata Isham, menteri-menteri yang ada perlu berusaha dengan gigih untuk meredakan wabak COVID-19, dengan itu juga membolehkan pilihan raya diadakan.

“Atau mereka perlu mencari jalan bagaimana pilihan raya boleh diadakan semasa fasa pemulihan wabak ini. Contohnya dengan membuka lebih banyak ruang untuk pengundian secara undi pos, undi awal, waima undi dalam talian jika difikirkan boleh dan perlu.

“Kita perlu mencari jalan untuk menyelesaikan krisis politik, ekonomi dan wabak ini segera.

“Kita sudah tiga kali tukar kerajaan selepas PRU-14 dan dua daripadanya tanpa mandat rakyat dengan ramai pelompat parti dan katak pula menjadi pembuat dasar.

“Akibatnya politik tidak stabil dan dasar yang dibuat tidak tentu arah dan tidak konsisten seperti mana pembuat-pembuat dasar yang tidak berpendirian yang melompat-lompat parti itu. Selagi soal mandat ini tidak selesai, selagi itu politik negara ini tidak akan stabil, pelabur akan menjauhkan diri, dan ekonomi sukar pulih,” katanya.

Isham menambah, sebab itu kita perlu selesaikan soal mandat rakyat ini dulu secepat mungkin untuk mencapai kestabilan politik dan seterusnya lebih fokus mengikhtiarkan pemulihan dan pertumbuhan ekonomi negara untuk kemakmuran rakyat.

“Bukan sibuk rampas kuasa dalam parti untuk kepentingan kuasa diri sendiri atau kepentingan parti lain.

“Saya yakin akar umbi UMNO akan membuat keputusan yang tepat dan tidak terpedaya dengan helah puak-puak pro-Muhyiddin yang ingin menjual atau menggadai UMNO kepada Bersatu,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat