Hanya 26.4 Peratus Premis Industri Di Selangor Patuh SOP Covid-19

- Advertisement -

SHAH ALAM – Sebanyak 53 premis industri sektor pembuatan diperiksa Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menerusi Ops Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) bermula 25 November hingga 14 Disember lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata tadi, daripada keseluruhan 53 industri diperiksa, hanya 14 lokasi atau 26.4 peratus sahaja yang mematuhi kehendak dinyatakan mengikut SOP MKN.

“Sebanyak 14 (26.4%) industri pula diberikan arahan penutupan mengikut Seksyen 18 (1) (f), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana terdapat banyak isu ketidakpatuhan terhadap SOP MKN yang dikemaskini pada 4 September mengikut sektor pembuatan.

“Perintah penutupan dikenakan selama tujuh hari bagi memastikan pihak industri berkenaan mengambil tindakan terhadap arahan kerja yang sudah dikeluarkan.

“Semua industri ini kemudian akan dibenarkan untuk beroperasi selepas Pegawai Diberikuasa mengesahkan keseluruhan arahan kerja sudah diambil tindakan,” katanya.

Dr Sha’ari berkata, 25 premis industri (47.2%) diberikan tawaran kompaun bernilai RM 1,000 membabitkan beberapa isu ketidakpatuhan (minor) terhadap SOP MKN.

Katanya, antara ketidakpatuhan yang dikesan sepanjang operasi itu adalah kegagalan mengadakan saringan suhu ke atas pekerja dan pelawat, tidak menyediakan amalan terbaik sosial ataupun penjarakan fizikal di premis, gagal mengemukakan bukti dokumen proses disinfeksi tiga kali sehari terutamanya di kawasan umum, tiada pembersihan dan nyah kuman di kilang atau premis setiap kali sebelum operasi bermula.

“Tidak menyediakan cecair pembasmi kuman di pintu masuk, semua kawasan umum dan tempat-tempat lain di premis, tidak mewujudkan Jawatankuasa Protokol Tindak Balas Kecemasan bagi penyediaan dan pelaksanaan tatacara mengurus kes-kes kecemasan.

“Majikan tidak melaporkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah yang berdekatan sekiranya berlaku jumlah ketidakhadiran pekerja yang ramai dan majikan tidak menyediakan protokol di tempat kerja yang meliputi pengawasan penyakit dan pencegahan penyebaran jangkitan mengikut standard yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga menggesa kesemua pengusaha atau pemilik sektor industri pembuatan untuk sentiasa mematuhi SOP MKN yang ditetapkan secara berterusan dan menyeluruh.

Jelasnya, JKNS dengan kerjasama pihak Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) akan sentiasa menjalankan pemantauan bagi memastikan kepatuhan pengusaha industri terhadap SOP MKN ini dijalankan bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

“Orang ramai dialu-alukan untuk menghubungi JKNS di talian 03-51237333 atau boleh terus menyatakan aduan SISPAA di laman web rasmi http://www.jknselangor.moh.gov.my sekiranya mempunyai aduan berkaitan ketidakpatuhan terhadap SOP MKN,” katanya. – HMetro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat