Lelaki Didenda RM1,000 Cederakan Pekerja Starbucks

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang mencederakan pekerja kedai kopi kerana tidak puas hati ditegur merokok di tempat awam, hari ini dijatuhkan hukuman denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini.

Majistret Mohamed Fared Abdul Latif menjatuhkan hukuman itu terhadap Mitchel Glend Samson, 27, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan dihadapinya dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda.

Lelaki itu didakwa telah mencederakan pekerja kedai Starbucks Nur Hanisah Abu Hasan, 23, di hadapan kedai Starbucks Plaza Berjaya, Jalan Imbi, di sini, pada 3.20 petang, 13 Nov lalu, mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda yang boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Mohamed Fared bertanya kepada tertuduh mengenai kejadian itu dan rayuannya untuk mengurangkan hukuman.

Tertuduh berkata selepas mengimbas aplikasi MySejahtera di kedai itu, statusnya adalah ‘berisiko tinggi’ dan dia tidak dibenarkan masuk oleh pekerja kedai kopi tersebut, lalu dia duduk di tepi Starbucks sambil menghisap rokok sementara menunggu rakan untuk membelikan kopi untuknya.

“Tetapi pekerja Starbucks datang dan menghalang saya dari menghisap rokok dengan cara yang kurang sopan. Saya cuba cakap baik-baik dengan dia tetapi tidak diendahkan.

“Tetapi saya mengaku bersalah kerana memang saya naik tangan kepadanya. Saya mohon maaf dan mohon hukuman ringan kerana masih menanggung keluarga di Sabah,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Abdul Khaliq Nazeri memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh mengambil kira faktor mangsa hanya menjalankan tugasnya dan kecederaan di bahagian mulut yang dialaminya.

– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,587FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat