Filem Denu bukan provokasi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menghasilkan filem mengenai kesenian Mak Yong dengan mengangkat kisah benar pada era sebelum merdeka di Kelantan, pasti mengundang risiko tersendiri.

Itulah yang dilalui pengarah dan pelakon veteran terkenal, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar yang bekerja keras menghasilkan filem memaparkan seni Mak Yong berjudul Denu.

Seperti yang diketahui ramai, Mak Yong yang dianggap antara seni warisan popular di Kelantan, diharamkan persembahannya oleh kerajaan negeri.

Justeru, apabila Ahmad Tarmimi tampil dengan filem Denu yang mengangkat budaya Mak Yong dan mengetengahkan jalan cerita yang ada kaitan dengan unsur politik pada zaman prakemerdekaan itu, tidak mustahil naskhah itu bakal mencetuskan kontroversi.

Menjawab pertanyaan itu, Ahmad Tarmimi menafikan Denu adalah karya berunsur provokasi kerana seolah-olah mempunyai maksud tersirat.

“Filem ini bukanlah memaparkan kisah sebenar sepenuhnya, tetapi hanyalah adaptasi.

“Budaya Mak Yong kita ambil sebagai latar penceritaan sahaja.

“Kita ceritakan mengenai budaya Mak Yong yang ketika itu digunakan sebagai saluran menyampaikan mesej mengenai kemerdekaan dan apa peranan kerajaan.

 

Membawa watak Asmah, Nad perlu belajar menguasai dialek Kelantan dalam menjayakan penggambaran filem Denu. Foto IG Nad Zainal
Membawa watak Asmah, Nad perlu belajar menguasai dialek Kelantan dalam menjayakan penggambaran filem Denu. Foto IG Nad Zainal

 

“Kalau ada yang menganggap Denu sebagai naskhah provokasi yang pembikinannya mempunyai maksud tertentu, saya tidak mahu masuk campur dan tidak ambil tahu,” katanya kepada BH Online.

Pendapat itu dipersetujui pelakon utama filem Denu, Sabri Yunus yang membetulkan salah tanggapan banyak pihak mengenai budaya Mak Yong.

“Mungkin ramai yang anggap seni Mak Yong pupus akibat diharamkan. Walhal, hakikatnya, Mak Yong sudah lama ‘mati’ sebelum dimatikan.

“Mak Yong bukannya seperti Dikir Barat yang kandungannya lebih bersifat semasa menerusi lirik yang disampaikan.

“Kalau kita lihat, penceritaan dalam Mak Yong tetap sama dari dahulu hingga kini.

“Apabila seni itu bersifat tradisional, maka tiada apa yang boleh diubah. Begitu juga dengan pementasan wayang kulit di mana kandungannya sama.

“Persembahan Mak Yong di Kelantan masih ada. Cuma dilakukan di luar bandar dan tidak dibuat secara besar-besaran,” kata Sabri yang memegang watak sebagai Pok Yeh dalam filem itu.

Mengulas apakah isu pengharaman Mak Yong dikatakan menjadi punca mengapa lokasi penggambaran filem itu dilakukan di Perak, Ahmad Tarmimi menyangkal dakwaan itu.

“Kami memilih Perak disebabkan isu logistik. Ia tidak ada kaitan dengan isu pengharaman Mak Yong.

“Lagipun membuat penggambaran dan mementaskan persembahan Mak Yong adalah berbeza.

“Kebetulan, kerajaan Perak sudi bekerjasama dengan kami. Jadi, mengapa tidak, jika itu lebih memudahkan kerja kami,” katanya.

Sementara itu Nad yang memegang watak sebagai Asmah bimbang dengan penerimaan masyarakat Kelantan terhadap wataknya sebagai primadona Mak Yong.

“Dalam filem ini, saya perlu bertutur dalam dialek Kelantan.

“Lebih mencabar apabila saya perlu mempersembahkan budaya negeri itu.

“Sebagai orang yang bukan berasal dari Kelantan, sudah tentu ia sesuatu yang mencabar buat saya.

“Perkara paling merisaukan adalah memikirkan bagaimana penerimaan penonton berikutan saya bakal berganding dengan abang Sabri yang loghat Kelantan adalah ‘makanannya’,” katanya.

Menjadikan seni Mak Yong era sebelum merdeka sebagai latar cerita, watak Pok Yeh, Asmah, Amirudin dan Khatijah digambarkan sebagai individu yang memperjuangkan cinta dan cita-cita.

Dengan menjadikan Mak Yong sebagai jiwa dan meletakkan kesenian itu pada tingkat paling gah, terpaparlah kisah suka duka, tawa dan dendam, jujur dan ‘menikam’ kehidupan di sekeliling mereka tanpa meminggirkan aspek penting, Denu iaitu kasih dan sayang.

Pada penghujungnya, dengan kasih sayang itulah menjadikan mereka berkorban, mengalah, setia, melawan, menikam belakang dan mengejar dunia hanya kerana mahu mempertahankan kasih sayang mereka.

Selain Sabri dan Nad, filem Denu yang membabitkan kos RM1.8 juta menampilkan Hairi Safwan, Che Kem, Hakimi dan Ayie@Arjuna.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat