Kerajaan PN Perlu Junjung Kasih Titah dan Melaksanakan Titah Agong – Aziz Kaprawi

- Advertisement -

CYBERJAYA – Persidangan Khas Raja-raja Melayu semalam tertumpu kepada kegagalan pentadbiran Kerajaan PN dalam mengharungi cabaran tri-krisis yang dihadapi negara yang membabitkan aspek kesihatan, ekonomi dan politik, kata bekas Ahli Parlimen Sri Gading Datuk Abd Aziz Kaprawi.

“Majlis Raja-raja juga telah bersependapat bahawa tidak ada keperluan untuk meletakkan negara di bawah pemerintahan darurat selepas 1 Ogos 2021.

“Sesungguhnya rakyat secara umum berkongsi perasaan lega dengan intervensi Raja-raja Melayu dalam mengharungi waktu kritikal seperti kini.

“Intervensi ini merupakan indikator yang memperlihatkan kegagalan Kerajaan PN mengurus baik sehingga menyebabkan Malaysia antara negara tertinggi dijangkiti wabak ini mengikut per kapita penduduk.

“Malah, pada 26 Mei yang lepas telah dilaporkan bahawa kes jangkitan COVID19 di Malaysia telah mengatasi India mengikut kes setiap juta manusia,” katanya, dipetik dari Facebook beliau, hari ini.

JUsteru itu kata Aziz, kerajaan PN harus menjunjung kasih dan menyokong sepenuhnya titah DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang telah menzahirkan pandangan supaya persidangan Parlimen perlu dilaksanakan secepat mungkin untuk membahaskan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara.

“Perlu diingatkan juga bahawa ini merupakan titah kedua Tuanku yang menyentuh tentang keperluan mengadakan sidang parlimen (kali pertama Februari 2021).

“Kerajaan PN tidak lagi boleh berdolak-dalih untuk meneruskan penangguhan sidang tersebut.

“Lebih mengejutkan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan seolah-olah mempersendakan titah Baginda dengan menyatakan bahawa Baginda tidak menyebut bulan berapa ataupun bila tarikhnya secara khusus.

“Seharusnya titah Baginda tersebut perlu dijunjung kasih dan disokong penuh dan Menteri yang bertanggung jawab harus sedaya upaya berusaha untuk memastikan sidang parlimen boleh dijalankan secepat mungkin.

“Takiyuddin juga tidak perlu untuk ‘mengingatkan’ ahli parlimen bahawa sidang tersebut hanya khusus untuk membincangkan isu COVID-19 sahaja,” ujarnya.

Mengulas lebih lanjut, Aziz berkata, Tuanku juga turut menzahirkan pandangan bahawa perlu adanya pentadbiran Kerajaan yang stabil dan kukuh serta berupaya berfungsi dengan efektif dalam menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.

“Tambahan lagi, Tuanku juga menyebut mengenai peranan Parlimen sebagai platform penting untuk membincangkan berkenaan peruntukan perbelanjaan Kerajaan bagi membantu rakyat.

“Dua kenyataan ini sahaja telah menggambarkan bahawa Kerajaan PN ketika ini bukanlah sebuah Kerajaan yang stabil, kukuh serta berupaya berfungsi dengan efektif dan pemasyuran ordinan yang diperkenankan oleh Tuanku mengenai kelulusan perbelanjaan tanpa melalui sidang parlimen juga tidak menyelesaikan masalah dan harus dipulangkan ke sidang parlimen.

“Sekiranya Kerajaan PN masih berdolak-dalih dalam menyegerakan sidang parlimen, maka adalah amat wajar YDP Agong untuk melantik seorang Perdana Menteri interim yang mempunyai pengalaman dan kemahiran hanya sehingga krisis ini dapat dikawal dengan baik dan seterusnya dikembalikan kuasa memilih kepada rakyat melalui Pilihanraya Umum ke-15.,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat