Malaysia pandang serius ancaman serangan Israel – KDN

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Susulan ancaman Israel terhadap pemimpin pejuang Palestin di seluruh dunia, termasuk Malaysia Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama agensi keselamatan lain sudah meningkatkan kawalan keselamatan dari semua aspek.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, dalam satu kenyataan malam tadi, berkata ia bagi memelihara ketenteraman awam dan keselamatan rakyat Malaysia, termasuk warga Palestin yang berada di negara ini.

Beliau berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandang serius ancaman keselamatan yang dikeluarkan oleh Israel itu dan juga mengambil maklum kewujudan organisasi yang mendukung dan menyokong aspirasi perjuangan rakyat Palestin di negara ini.

“Justeru, saya menyeru orang ramai untuk bertenang kerana keadaan keselamatan dalam negara adalah terkawal dan kekal berada di tahap yang baik.

“Kerajaan Malaysia sekali lagi menegaskan pendirian untuk terus menyokong aspirasi dan perjuangan rakyat Palestin,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial dan aplikasi sembang mengenai dua badan perisikan Israel dilaporkan mendapat ‘lampu hijau’ untuk menghapuskan pemimpin pejuang Hamas yang berada di dalam dan luar Gaza, termasuk di Malaysia.

Perkara itu dilaporkan oleh blog WarNews247 yang memetik laporan disiarkan oleh sebuah stesen penyiaran televisyen Israel.

Katanya, pemimpin Israel didakwa sudah mengarahkan badan perisikan negara itu, iaitu Shin Bet dan Mossad untuk melaksanakan tugas berkenaan.

WarNews247 dipetik berkata, badan perisikan Israel dikatakan akan menyasarkan negara-negara seperti Iran, Turki, Qatar dan Malaysia yang dikatakan memberi sokongan, membiayai kewangan dan melatih pejuang Hamas.

“Sebenarnya, operasi ketenteraan Israel itu sudah dimulakan sejak 24 jam yang lalu (kelmarin) apabila dua bangunan milik dua organisasi dari Turki dibom di Gaza.

“Sebuah bangunan adalah milik pertubuhan kebajikan Yardimeli dan sebuah lagi milik Turkish Cooperation & Coordination Agency (TIKA) yang beroperasi sebagai pusat National Intelligence Agency (MIT) Turki,” katanya.

Katanya lagi, ia diikuti serangan tentera Israel ke atas bangunan 13 tingkat yang menempatkan ibu pejabat Al-Jazeera di Gaza, iaitu sebuah rangkaian televisyen yang berpangkalan di Qatar.

“Peperangan tanpa henti yang diisytiharkan oleh Israel ini akan memberi kesan besar terhadap hubungannya dengan Turki dan hubungannya dengan Qatar, paksi yang menyokong Ikhwanul Muslimin.

“Perang ini akan menjadi petanda awal kepada konflik yang lebih besar di Asia Barat, yang tentunya menjadi tanggungjawab Ankara (Turki),” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Kanan Penyelidikan Yayasan Pertahanan Demokrasi (FDD), Jonathan Schanzer dalam satu ciapan di akaun Twitter miliknya semalam, mendakwa Tentera Pertahanan Israel (IDF) diberi kebenaran untuk menghapuskan pejuang Hamas di semua peringkat.

“Channel 13 melaporkan IDF diberikan lampu hijau untuk menyasarkan operatif Hamas di semua peringkat, dalam dan luar Gaza. Implikasinya jelas kepada Iran, Turki, Qatar, Malaysia dan lain-lain,” katanya.

Channel 13 adalah sebuah stesen penyiaran televisyen di Israel. -SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat