Laporan: Muafakat Nasional mungkin lafaz talak sebelum PRU-15 – Khir Toyo

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kesepakatan politik yang membentuk Muafakat Nasional (MN) disertai UMNO dan PAS kini dikatakan di ambang keretakan dan dikhuatiri bakal ‘bercerai’ sebelum berlangsungnya pilihan raya umum ke-15 (PRU15), kata bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo.

Memetik Sinar Harian tokoh veteran UMNO itu berkata, hubungan kedua-dua parti terbesar Melayu itu kini semakin parah dengan masing-masing sedang menunggu masa untuk melafazkan talak terhadap satu sama lain.

Meskipun koalisi MN lebih disenangi akar umbi UMNO berbanding Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohamad Khir tidak nampak formula MN dapat dipertahankan kecuali Pas bersetuju mengagihkan kerusi parti itu sendiri kepada Bersatu.

“Masalah utama koalisi perdana parti Melayu masih tidak dapat dimuktamadkan disebabkan perebutan 130 kerusi Parlimen majoriti pengundi Melayu antara UMNO, PAS dan Bersatu.

“Isu itu semakin diburukkan dengan kegagalan PAS mengemukakan pendirian sama ada mahu kekal dalam MN atau beralih sokongan kepada PN.

“Sekiranya PAS mahu terus kekal dalam MN, parti itu perlu mengharungi dua peringkat perbincangan pembahagian kerusi pilihan raya dengan MN dan PN. Saya tidak percaya PAS sanggup serah kerusi mereka kepada Bersatu setelah proses pembahagian kerusi dengan UMNO dimuktamadkan di peringkat MN,” katanya memetik akhbar itu.

Beliau berkata demikian sewaktu mengulas kenyataan penganalisis politik daripada Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Sivamurugan Pandian yang menegaskan hala tuju pembentukan koalisi perdana parti Melayu kini terletak di tangan PAS.

Terdahulu, ramalan dibuat institusi kajian politik, O2 Research Malaysia menjangkakan gabungan PN, BN, PAS, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Bersatu Sabah (GBS) mampu memenangi sekurang-kurangnya 136 kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan lebih kukuh sekiranya kerjasama politik mereka berjaya dimuktamadkan.
Mohamad Khir berkata, masa depan MN menjadi semakin samar setelah PAS dilihat lebih komited bersama PN yang kini menerajui kerajaan Pusat berbanding koalisi itu.

Selain itu, beliau berpandangan pengekalan PAS dalam kedua-dua koalisi MN dan PN akan lebih menguntungkan parti itu kerana jumlah kerusi pilihan raya ditandingi mereka akan lebih terjamin.

“Sudah tiba masanya UMNO beri kata dua kepada PAS sama ada mahu terus kekal bersama MN atau komited kepada PN. Pas kena berlaku jujur, tidak boleh main catur tetapi guna peraturan dam haji.

“Halangan terbesar UMNO untuk bergerak ke hadapan ketika ini adalah PAS. Sekiranya PAS masih main tarik tali sehingga bulan Jun, UMNO kena buat pendirian dan strategi politik baharu bagi PRU15,” katanya.

Mengenai status kerjasama politik dengan Bersatu, Mohamad Khir menggesa pucuk kepimpinan UMNO mengemukakan pendirian segera berhubung perkara itu bagi mengelakkan ahli-ahli parti diselubungi kebingungan.

Selain itu, beliau mengakui UMNO sukar untuk menang PRU15 sekiranya bergerak sendiri dan dijangka hanya mampu memperoleh 90 kerusi Parlimen. -SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat