DidikTV KPM dilancar untuk bantu pelaksanaan PdPR – Muhyiddin

- Advertisement -

CYBERJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan membantu pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), khususnya bagi murid yang tidak mempunyai akses kepada pendidikan secara dalam talian menerusi DidikTV KPM.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dengan inisiatif baru ini ibu bapa juga boleh meluangkan masa untuk menonton DidikTV KPM bersama anak-anak.

“Kerajaan sentiasa peka dan prihatin dengan cabaran yang dihadapi oleh murid, guru dan ibu bapa dalam situasi sukar ini.

“Sebagai salah satu inisiatif dalam mempelbagaikan sumber pembelajaran serta bagi membantu murid yang tidak mempunyai akses internet atau peranti yang sesuai untuk pembelajaran secara dalam talian, KPM menyediakan slot program TV Pendidikan secara terestrial yang disiarkan di TV Okey RTM, Tutor TV Astro dan DidikTV@NTV7,” katanya semasa pelancaran saluran TV pendidikan KPM, DidikTV hari ini.

DidikTV KPM akan menyiarkan program-program yang berteraskan kurikulum dan kokurikulum KPM.

Saluran itu juga akan menyiarkan berita mengenai dunia pendidikan daripada peringkat pra sekolah hingga tingkatan 6, program bercorak didik hibur (edutainment) serta kandungan yang dihasilkan oleh murid.

DidikTV KPM memulakan siaran pertamanya hari ini dan bersiaran bermula jam 7 pagi sehingga jam 12 tengah malam setiap hari.

Selain itu, jelas Muhyiddin, kandungan pembelajaran sepanjang hayat yang memberi fokus kepada nilai-nilai murni dan pembangunan karakter murid akan turut disiarkan.

Dalam pada itu katanya, segala usaha memerlukan sokongan padu dan kerjasama erat daripada semua pemegang taruh, khususnya murid, guru dan juga ibu bapa.

Beliau turut mengajak semua untuk bersatu hati melaksanakan tanggungjawab dalam menjayakan agenda besar pendidikan negara ke arah yang lebih cemerlang demi masa depan generasi pewaris negara.

DidikTV KPM boleh ditonton menerusi saluran 107 di MYTV, saluran 147 di Astro dan saluran NTV7 di TV Unifi.

Bagi set TV Digital Bersepadu (iDTV) yang menggunakan antena pula, carian saluran DidikTV KPM boleh dilakukan menerusi penalaan automatik. -SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat