Gerakan Koperasi Di Sarawak Lebih Tua Dari Usia Kemerdekaan – Wan Junaidi

- Advertisement -

SIBU – Sesi Interaktif Koperator Bersama YB Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) dianjurkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) hari ini melibatkan koperator-koperator dari Zon Tengah Sarawak merangkumi Bahagian Sibu, Mukah, Kapit dan Sarikei.

“Objektif utama sesi interaktif ini adalah untuk mendapatkan maklumbalas koperator dalam memantapkan pembangunan koperasi, merapatkan ukhwah serta menjelaskan inisiatif Kerajaan kepada gerakan koperasi.

“Sambutan Hari Malaysia di Stadium Tertutup Sibu bersempena hari bersejarah meraikan 63 tahun Kemerdekaan Malaysia juga memperlihatkan sejarah usia gerakan koperasi di Sarawak lebih tua dari usia kemerdekaan negara kita,” kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) Dato’ Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Menurut Wan Junaidi, gerakan koperasi di Sarawak telah bermula pada 1 Januari 1949 iaitu, lebih 71 tahun lalu.

Koperasi pertama didaftarkan di Sarawak telah bermula di daerah kecil Dalat iaitu Kampung Kekan Co-operatives Sago Milling Society Limited yang didaftarkan pada 3 Mac 1949.

“Aktiviti utama koperasi ini ialah memproses tepung sagu atau dikenali sebagai tepung lemantak yang diperolehi dari pokok rumbia yang diperolehi daripada kawasan Mukah, Balingian Dalat dan sekitarnya.

“Hari ini, koperasi dilihat telah menceburi pelbagai bidang perniagaan seperti perbankan kewangan, pemborongan dan peruncitan, pelancongan, perumahan dan sebagainya seperti mana juga entiti perniagaan yang lain.

“Sehinggalah negara kita dilanda pendemik COVID-19 yang mana telah memaksa semua orang mengurus kehidupan seharian dengan norma yang baharu. Kebanyakan urus niaga perniagaan tidak lagi dilakukan secara bersemuka,” ujarnya lagi.

Justeru itu, katanya, cabaran melalui norma baharu ini telah memaksa kita semua menjalankan perniagaan secara lebih berdisiplin dan dengan cara atau kaedah yang lebih kreatif.

“Semua urus niaga dalam talian yang melibatkan perbankan dan aplikasi e-wallet serta penawaran khidmat penghantar barang terus ke rumah.

“Untuk itu, koperasi perlu turut berubah mengikut keperluan semasa demi memastikan gerakan ini perlu kekal relevan dan perlu menjangkau pasaran dengan mempertingkatkan penghantaran melalui memanfaatkan penggunaan teknologi dalam perniagaan masing-masing.

“Kaedah tempahan dan pembelian secara online dan serahan terus ke depan pintu pelanggan menjadi trend terkini,” katanya.

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) juga melihat bahawa sektor koperasi dapat membantu rakyat terutama golongan B40 bagi mendapat pendapatan tambahan bagi menangani kos kenaikan kos sara hidup.

“Maka dengan itu, Kementerian (MEDAC) melalui SKM menggalakkan penubuhan koperasi di kalangan golongan bersasar seperti belia dan wanita. Golongan ini dapat digembeling melalui tenaga dan idea baru mereka bagi mencapai matlamat negara ke arah negara maju,” katanya.

Sehingga 31 Disember 2019 gerakan koperasi di Sarawak mempunyai bilangan koperasi sebanyak 1,077 buah dengan keanggotaan seramai 264,155 orang, jumlah syer/yuran RM196.41 juta, jumlah aset RM617.04 juta dan jumlah perolehan RM274.43 juta.

Berdasarkan data ini jelas gerakan koperasi di Sarawak mempunyai kekuatan dan berpeluang untuk menguasai pasaran perniagaan.

“MEDAC sentiasa memastikan usaha-usaha menbangunkan gerakan koperasi sebagai agenda utama Kementerian yang mana selaras dengan objektif Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030) iaitu mewujudkan ekosistem keusahawanan yang holistik dan kondusif bagi menyokong agenda pembangunan sosioekonomi Malaysia yang inklusif, seimbang dan mapan,” kata beliau. – SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat