LCS Cuma ‘Projek Lewat’, Boustead Tak Pernah Rugi Waktu Najib PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyatakan Boustead Holdings Berhad tidak pernah rugi sepanjang tempoh beliau menerajui kerajaan.

Beliau malah memberitahu projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) hanya ‘projek lewat’ bukannya tidak pernah bermula.

“Boustead tak pernah rugi sepanjang tempoh saya Perdana Menteri (PM). Fakta.

“Dividen serta bonus Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) adalah lebih 10 peratus dan tetap tinggi sepanjang tempoh saya PM. Fakta,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Najib menegaskan, projek LCS merupakan projek terbesar Boustead milik LTAT dan ini juga fakta katanya.

Menurut beliau, Boustead merupakan aset terbesar dan merupakan 46 peratus daripada jumlah nilai pelaburan LTAT.

“Pada Januari 2015 (tarikh pembinaan fizikal LCS bermula) hingga April 2018 (sebelum PRU-14) atau 39 bulan- tahap kemajuan 53 peratus.

“Mei 2018 (selepas PRU-14) hingga hari ini- tahap kemajuan 56 peratus.

“Kemajuan pembinaan naik 3% sahaja sejak PRU-14 setelah projek dilewatkan dan dibekukan Pakatan Harapan (PH) fakta,” kata Najib lagi.

Jelas Ahli Parlimen Pekan itu, projek hanya disambung semula pada Mei 2022 oleh kerajaan hari ini setelah dibekukan PH dan selepas dua tahun pandemik di mana darurat dan lockdown separuh masak antara paling lama dalam dunia untuk selamatkan jawatan Perdana Menteri sendiri dan ini menyukarkan pelaksanaan projek.

Ujar Najib, kos yang ditanggung bagi setiap bulan projek dibeku ialah RM50 juta seperti didedahkan oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada tahun lepas.

“Tak nafi bahawa projek sudah mula lambat dengan tahap kemajuan 50.15 peratus berbanding 70 peratus di bawah jadual pada Januari 2018 seperti dinyatakan bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

“Bahawa Boustead mungkin lewat untuk selesaikan kapal pertama pada April 2019 seperti dijadualkan- iaitu hampir setahun selepas PRU-14.

“Tetapi ini adalah projek lewat. Bukan tak pernah bermula pembinaan seperti projek terowong Pulau Pinang

“Projek yang lewat boleh diselamatkan dan dipercepatkan,” kata Najib.

Tambah beliau, kontraktor bukan kroni swasta ataupun kroni sesiapa tetapi milik LTAT.

“Banyak lagi projek-projek DAP dan PH juga pernah lambat tanpa dibekukan.

“Kenapa pula bekukan projek? Kenapa tak bantu Boustead serta 8,000 pekerja yang terbabit dalam projek?

“Jika projek dibeku, kita tak dapat apa-apa hasil akhirnya. Kapal tidak akan tumbuh dengan sendirinya.

“Adakah PH sangat tidak kompeten dan tidak tahu bagaimana untuk membantu?Apa yang kerajaan PH pernah buat untuk membantu Boustead bagi mempercepatkan projek? Soal Najib.

Malah katanya, berapa Ringgit dari kerajaan pernah diluluskan untuk teruskan projek sepanjang tempoh PH memerintah memandangkan ada lagi baki bajet RM3 bilion setelah kerajaan membayar RM6 bilion daripada jumlah peruntukan RM9.1 bilion projek ini?

“Ataupun PH seolah-mahu jahanamkan Boustead dan LTAT untuk persalahkan BN.

“Seolah-olah mahu jahanamkan kebolehan tempatan, industri dan eko-sistem pembinaan kapal perang negara,” dakwa beliau.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat