Faztival Fazura himpun artis Malaysia, Indonesia

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Memulakan kerjaya sebagai pelakon sebelum melangkah ke bidang nyanyian dan usahawan, selebriti terkenal, Nur Fazura bakal melakar sejarah peribadi dalam kerjaya seni apabila kini bergelar penganjur konsert.

Menerusi pengumuman dibuat dalam majlis diadakan di ibu negara, baru-baru ini, pemilik nama lengkap Nur Fazura Sharifuddin ini memaklumkan acara konsert, Faztival Fazura 2022 yang bakal diadakan pada 11 September depan membawa makna tersendiri buatnya.

Memperincikan perkara itu, Nur Fazura berkata, selain memasang niat meraikan peminat, stokis dan ejen rasmi, Fazura Besties yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam jualan, konsert itu juga dianjurkan sempena sambutan ulang tahun ke-39 pada 27 September depan.

“Hasrat mengadakan konsert sudah lama terdetik, namun disebabkan pandemik COVID-19, terpaksalah saya tangguhkan dahulu.

“Sepatutnya konsert dianjurkan pada hari ulang tahun kelahiran pada 27 September, namun disebabkan masalah mendapatkan lokasi, konsert ini dianjak lebih awal pada 11 September depan.

“Secara kebetulan ramai bertanya bila saya mahu kembali menyanyi. Justeru, konsert ini menjadi platform untuk saya menghiburkan peminat.

“Selain itu, tujuan konsert juga untuk saya meraikan peminat dan ganjaran kepada stokis serta ejen yang menunjukkan pencapaian terbaik dan konsisten dalam jualan.

“Mengikut perancangan awal, penganjuran konsert ini hanyalah secara kecil-kecilan. Mungkin sudah rezeki, konsert jadi sebesar ini,” katanya kepada BH Online.

Lebih menarik, konsert yang bakal menggegarkan Axiata Arena, Bukit Jalil itu bukan sahaja menghimpunkan nama besar dari dalam dan luar negara, tetapi dalam kalangan penyanyi kegemaran pelakon filem Dendam Pontianak itu.

Mereka adalah Datuk M Nasir, Datuk Awie, Ella, Ruffedge, Zizi Kirana, Ippo Hafiz dan Amir Masdi.

 

Selain memasang niat meraikan peminat, Faztival Fazura 2022 dianjurkan sempena sambutan ulang tahun Nur Fazura ke-39 pada 27 September depan. - NSTP/Rohanis Shukri
Selain memasang niat meraikan peminat, Faztival Fazura 2022 dianjurkan sempena sambutan ulang tahun Nur Fazura ke-39 pada 27 September depan. – NSTP/Rohanis Shukri

 

Turut membuat penampilan khas adalah Ahmad Band dari Indonesia serta maestro muzik, Ahmad Dhani bersama isterinya, Mulan Jameela.

“Mulanya terbit juga kebimbangan jika penyanyi yang diingini tidak dapat memenuhi undangan. Rasa teruja apabila M Nasir setuju untuk menjayakan konsert ini.

“Arwah papa memang meminati M Nasir dan saya juga membesar dengan lagu nyanyiannya. Sejujurnya, saya bersyukur dapat berkongsi pentas dengan mereka,” luahnya.

Memahami beban terpaksa ditanggung rakyat, isteri kepada pelakon Fattah Amin ini memberi jaminan harga tiket untuk menyaksikan konsert mampu milik.

“Selama ini semua produk saya keluarkan harganya mampu milik dan kata pagar yang digunakan adalah #miliksemua. Saya faham ramai berada dalam kesusahan dan memerlukan hiburan untuk meredakan tekanan.

“Kalau boleh saya nak semua golongan dapat menyaksikan konsert ini. Justeru, tiket menyaksikan konsert mampu milik. Insya-Allah, jika dikurniakan rezeki lebih, saya mahu menjadikan konsert sebagai acara tahunan.

“Banyak saya belajar, antaranya baru tahu bukan mudah membawa artis dari luar negara. Banyak prosedur dan proses yang perlu dilalui.

“Mungkin akan ada lebih ramai artis yang bakal diundang pada masa akan datang,” ungkapnya.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat