TNB Dipanggil Beri Penjelasan Ke Kementerian, Suruhanjaya Tenaga Hari Ini

- Advertisement -

TEMERLOH – Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) telah memanggil Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk memberi penjelasan berhubung kenaikan bil elektrik sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga menimbulkan rungutan rakyat.

Menterinya, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata KeTSA dan Suruhanjaya Tenaga (ST) telah memanggil pengurusan tertinggi TNB yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada hari ini, yang akan disusuli dengan satu lagi mesyuarat esok.

“Pengurusan tertinggi TNB diminta untuk membentangkan apa yang telah mereka laksanakan sepanjang tempoh ini bagi kita melihat isu yang dibangkitkan secara menyeluruh. Kita juga memberi peluang kepada mereka selepas mendengar rungutan dan kritikan rakyat.

“Saya difahamkan pada ketika ini, mereka (TNB) sedang memperhalusi semua perbincangan yang diadakan pagi tadi sebelum kita teliti lagi dengan lebih terperinci pada mesyuarat esok untuk mencari keputusan terbaik,” katanya.

Shamsul Anuar berkata demikian pada sidang media selepas melawat Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Lanchang di sini yang turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Datuk Abdul Kadir Abu Hashim.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan terdapat beberapa perkara akan dibawa ke peringkat atasan hasil daripada pertemuan itu dan berharap rakyat bersabar kerana kerajaan komited menyelesaikan isu itu dengan keutamaan kepada rakyat, selain memastikan TNB kekal memberikan perkhidmatan terbaik.

Ditanya jika TNB bakal dikenakan tindakan sekiranya melakukan kesilapan dalam pengiraan, Shamsul Anuar berkata: “TNB tidak boleh membuat sebarang kiraan dengan sewenang-wenangnya. Apa juga perkara yang hendak dilakukannya mesti mendapat persetujuan daripada ST sebagai badan penyelia dan pengawal kepada industri tenaga.

“Oleh itu, kita berkeyakinan bahawa ST dapat memastikan perkara ini diselesaikan dengan baik dan kita respons pada semua isu yang dibangkitkan. Saya faham ramai mahu keputusan segera, tetapi ini perkara penting yang perlu diteliti sepenuhnya,” katanya.

Pada perkembangan berasingan, Shamsul Anuar berkata sembilan lokasi ekopelancongan di bawah seliaan Perhilitan telah mula dibuka semula kepada pelancong dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) mulai hari ini, selepas ditutup kepada umum sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa pada 18 Mac lepas.

Selain PKGK Kuala Gandah, antara lokasi itu ialah Taman Negara Kuala Tahan dan Sungai Relau di Pahang, Taman Negara di Kuala Koh, Kelantan; Taman Negara Tanjong Mentong, Terengganu dan Paya Indah Wetlands di Dengkil, Selangor.

“Kerajaan boleh menetapkan SOP bagaimanapun kita amat memerlukan kerjasama rakyat untuk sama-sama mematuhi bagi memastikan COVID-19 dapat dibendung dan tiada penularan berlaku di kawasan ini,” katanya.

Shamsul Anuar juga memaklumkan pembangunan Perak Elephant Sanctuary (PES) di kawasan seluas lebih 80 hektar berhampiran Hutan Simpan Amanjaya dan Royal Belum dijadualkan bermula awal tahun depan dengan menggunakan model PKGK Kuala Gandah.

– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat