UMNO takkan minta dan bagi nyawa kepada orang lain lagi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Budaya mencari talian hayat mesti dibuang sekali gus menghentikan pemikiran gemar bergantung kepada parti lain untuk memerintah,” kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Tegasnya, apatah lagi bergantung dengan PAS, Bersatu atau PH sebagai talian hayat dan nyawa simpanan.

“Jangan sesekali meminta-minta nyawa dari orang lain dan kita juga mesti berhenti memberi nyawa pada orang lain. Khususnya mereka yang mengemis peluang. Tapi akhirnya menikam kita dari belakang.

“Kenapa saya sangat yakin bahawa sasaran kita untuk menjadi parti terkuat, menang pilihan raya dan membentuk kerajaan dan memimpin negara secara berprestasi adalah suatu yang realistik dan boleh dicapai.

“Malah, kini, UMNO yang paling ke hadapan dalam memperjuangkan akta khas bagi mencegah amalan lompat parti dan pengenalan prosedur pilihan raya pecat, dengan izin ‘recall election’,” katanya.

Sementara itu ujar Mohamad lagi, survival UMNO selepas ini juga bergantung kepada keupayaan kita meyakinkan segmen bukan Melayu.

Kerana katanya, undi Melayu sahaja tidak akan mencukupi untuk membentuk kerajaan, apalagi kerajaan yang stabil.

“Namun, kenyataanya ialah kita tidak boleh mengharapkan hanya kepada rakan sekutu kita untuk menyalurkan sokongan bukan Melayu kepada UMNO dan BN. Ia sangat berisiko dan tidak selari dengan kepentingan jangka panjang UMNO,” jelasnya.

Tegas Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berpesan lagi bahawa UMNO mesti tahu dengan siapa kita harus berpakat.

“Realitinya, kesepakatan komponen parti BN waktu ini adalah pada tahap yang sangat baik.

“Tetapi, mencari rakan, untuk membentuk Kerajaan yang kuat selepas pilihan raya, adalah strategik kepada kestabilan kerajaan. Bukan sahaja kuat, tetapi inklusif terutamanya melalui menjalin kerjasama erat dengan pelbagai parti termasuk dari Sabah dan Sarawak.

“Namun siapa yang kita mahu ajak berpakat? Siapa pula yang kita mahu tolak sekeras-kerasnya? Dan apa pula yang menjadi pertimbangan utama kita dalam memutuskan siapa lawan dan siapa kawan? tegas Mohamad.

Menurut beliau, semua ini memerlukan keunggulan politik dan hikmah dan bukan hanya tangkap muat seperti pembentukan Perikatan Nasional (PN).

“Katak, sesumpah, itik, segala yang melintas dan terbang di hadapan mereka cekup dan ambil.

“Yang pasti, kita tidak akan mengajak berpakat parti yang secara terang-terangan ditubuhkan untuk menggantikan UMNO. Apalagi DAP dengan agenda cauvinismenya.

“Dan kepada si mata keranjang, yang bermain pelbagai kolam, mendambakan keuntungan dari semua dan berasmara dengan pelbagai musuh UMNO tetapi pada waktu sama cuba bercinta dengan UMNO, pendirian UMNO ialah ‘Tidak pada yang curang’ dan ‘Hanya pada yang setia’! bidasnya.

Mohamad turut meramalkan bahawa kerjasama politik selepas PRU ini, bagi maksud membentuk kerajaan yang kuat, mesti bersandarkan ‘A Common Agenda for A Common Future”.

Kata beliau ia berpandukan agenda (agenda based) dan bukan bersandarkan pakatan (‘partnership based’).

“Cukuplah dengan penubuhan segala bentuk perikatan, barisan, pakatan dan gabungan. Semua itu hanyalah kosmetik. Tidak disandarkan kepada satu agenda bersama demi Malaysia yang lebih baik. Tetapi sekadar tolak ansur
politik demi mahu berkongsi kuasa.

“UMNO mesti mempelopori kerjasama mentadbir negara, melalui ‘perjanjian bersama’ atau ‘coalition agreement’ yang berasaskan agenda bersama, demi masa depan bersama ini.

“Ia wajar menjadi rukun dan tiang seri yang mendasari kerjasama pembentukan Kerajaan.

” Dan setelah lima tahun, kita kembali semula kepada pengundi dengan jalan masing-masing. Biar pengundi menentukan masa depan kita dan pencapaian kita serta memilih Kerajaan seterusnya,” kata Mohamad.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat