PRU-15 waktu pandemik pilihan terbaik – Mohamad

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Melaksanakan Pilihan Raya Umum (PRU-15) sewaktu pandemik adalah pilihan terbaik bersandarkan kepada disiplin dan ketertiban seperti yang telah dibuktikan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka, Sarawak dan Johor.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan tiada alasan untuk kerajaan melengahkan PRU-15.

Mohamad bagaimanapun berkata, Parlimen akan dibubar dengan izin Yang di-Pertuan Agong.

“Parlimen dibubar dengan izin Tuanku. Ini kena saya bagi tahu kerana bukan kita berkuasa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan menasihatkan Tuanku barulah Agong setuju atau tidak.

“Kita mesti duduk dulu baru berlunjur jangan terus berlunjur,” ujar Mohamad.

Kata beliau prestasi sebagai kerajaan sangat bergantung kepada pelbagai faktor dalam dan luaran.

Mohamad menyebut beberapa kategori ancaman misalnya krisis Ukraine dan Russia, tergugatnya ‘Europe security order’, ketidakpastian tentang kemungkinan
adanya ancaman pandemik baru, ketegangan hubungan USA dan China serta pembukaan perlahan sempadan sehingga menjejaskan ‘global supply chain’, prestasi ekonomi Malaysia sangat terdedah kepada semua kegawatan dampak semua ini.

Selain itu kata Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu memberitahu, harga barang juga semakin naik mendadak, tidak terkawal dan tidak masuk akal.

“Kemarahan rakyat membuak-buak. Semakin lama dibiarkan, semakin ramai yang akan mengkambing hitamkan UMNO dan BN.

“Semua ini akan menjadi peluru politik PH untuk menembak kerajaan dan UMNO akan menerima tempiasnya.

“Kerana itu, adalah sangat berisiko untuk melengahkan PRU dalam keadaan ekonomi negara yang tidak menentu akibat pelbagai faktor dalaman dan antarabangsa,” kata Mohamad dalam ucapan persamian Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di WTC malam ini.

Beliau turut menegaskan, BN mesti mengembalikan semula mandat rakyat untuk memilih kerajaan yang sah.

“UMNO adalah ‘the custodian of democracy’ di negara ini. Bukan sekadar pemain politik biasa. Kita yang membidani, menyubur dan melestarikan demokrasi di tanah air ini.

“Jangan terus berdolak dalih. Malaysia tidak pernah ditadbir oleh Kerajaan yang tidak terbentuk melalui pilihan raya yang demokratik,” ujarnya.

Timbalan Presiden UMNO itu menambah, keabsahan kerajaan sekarang terus dipersoal.

“Kita tidak menang dalam PRU lepas. Kita hanya menguasai kerajaan melalui percaturan politik.

“Sampai bila kita mahu terus bergantung dengan CSA dan MOU untuk mengurus kestabilan negara ini?

“Sejak bila, kelangsungan serta keabsahan kita sebagai pemerintah, bergantung pada ihsan dan simpati parti lain? Sampai bila? Soalnya.

Tegas Mohamad lagi, UMNO berkehendakkan kerajaan dengan parti yang terkuat, yang tanpanya, sebuah kerajaan yang stabil tidak boleh dibentuk.

Katanya, mengambil kira semua ini, UMNO harus mengambil pendirian tentang kewajaran menyegerakan PRU ke 15.

“Saya maklum, ada dalam kalangan kita yang membantah cadangan ini. Akan tetapi, apakah jaminannya bahawa keadaan akan lebih memihak kepada BN jika kita terus menangguhkan PRU?

“Adakah alasan menolak PRU sekarang, berdasarkan satu penilaian risiko ‘risk analysi’ yang teliti dan mendalam? Atau sekadar mengikut kata hati dan bisikan emosi?

“Apakah dengan menangguhkan PRU, BN akan berada dalam keadaan yang lebih selesa untuk menang? Dan jika demikian, apakah rumus untuk perkara sedemikian berlaku?

“Momentum apa lagi yang BN perlu tunggu untuk menghadapi pilihan raya apabila ‘the feel-good feeling’ terhadap Kerajaan waktu ini sudah mula beransur pudar? Apakah jaminan bahawa CSA dan MOU yang kita meterai sekarang ini akan terus bertahan dalam keadaan politik yang sangat dinamik ini? katanya lagi.

Dalam pada itu Mohamd turut mengingatkan bahawa kemenangan manis di Melaka dan di Johor, bukanlah kemegahan. Bukan untuk kita lupa akan daratan dan mendabik dada bangga.

Katanya, walaupun ia adalah tanda jelas dan terang, bahawa UMNO telah mula pulih dan bangkit, tetapi perjalanan masih lagi sangat jauh dan berliku.

“Pada saya, kemenangan di Melaka dan Johor adalah peluang kedua kepada UMNO, yang diberikan oleh orang Melayu kepada kita.

“Jadi janganlah kita sia-siakan kepercayaan ini. Kita mesti kembali bukan sahaja menguasai Melaka dan Johor tetapi
seluruh Malaysia,” kata Mohamad dalam ucapannya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat