‘Tinggal lima bulan lagi’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tanggal 29 Mei depan, genap 50 tahun pemergian Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang menghembuskan nafas terakhir akibat akibat sakit jantung, meninggalkan peminat legasi tidak ternilai melalui karya seni filem dan lagu merentas zaman.

Sepanjang tempoh itu, mengikut Akta Hak Cipta 1987, royalti daripada karya lagu Allahyarham P Ramlee diagihkan kepada waris, iaitu isterinya, Allahyarham Puan Sri Saloma sehingga Biduanita Negara itu meninggal dunia pada 25 April 1983.

Royalti kemudian diagihkan kepada anak mereka, Allahyarham Nasir P Ramlee yang sepakat membahagikan perolehan diterima kepada beberapa waris lain.

Apabila Nasir meninggal dunia pada 23 November 2008, kontrak royalti yang diuruskan Badan Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) itu diteruskan kepada waris lain termasuk Sazali, 63.

Membilang hari, menjelang 1 Januari ini, tinggal kira-kira lima bulan sebelum tempoh agihan royalti P Ramlee bagi tempoh 50 tahun, berakhir.

Mendapatkan perkembangan terkini berhubung gesaan penggiat industri agar tempoh agihan royalti P Ramlee dilanjutkan 20 tahun lagi, MACP menjelaskan, pihaknya masih menunggu keputusan kerajaan.

Ketua Bahagian Undang-Undang MACP, Rashidah Ridha, berkata pihaknya sudah berusaha memperjuangkan usul melanjutkan agihan royalti kepada 70 tahun melalui saluran betul.

“MACP tidak pernah berdiam diri atau lepas tangan dan masih meneruskan usaha melanjutkan tempoh hak cipta karya P Ramlee kepada 20 tahun lagi, menjadikan tempoh keseluruhan 70 tahun selepas pemergian arwah.

“Kami sudah menghantar surat kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kerana akta yang berkaitan hak cipta adalah di bawah bidang kuasa mereka.

“September lalu, ketika lawatan rasmi Ketua Setiausaha KPDN (dahulunya dikenali sebagai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) ke pejabat kami, usul sama dibincangkan.

“Berikutan isu ini ada kaitan dengan warisan negara, kami juga menghantar surat kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk dibuat penilaian.

“Dalam surat itu, kami lampirkan laporan dan rasional mengapa tempoh kontrak itu perlu dilanjutkan. Kami sudah berusaha sebaik mungkin dan sekarang terpulang kepada kerajaan untuk membuat keputusan,” katanya kepada BH Online.

 

Sazali mendakwa semakin uzur dan hanya bergantung kepada royalti arwah bapanya bagi menampung perbelanjaan kos perubatan dirinya dan isteri, Hamidah Hitam.
Sazali mendakwa semakin uzur dan hanya bergantung kepada royalti arwah bapanya bagi menampung perbelanjaan kos perubatan dirinya dan isteri, Hamidah Hitam.

 

Mengikut Akta Hak Cipta 1987, tempoh hak cipta semasa adalah 50 tahun iaitu selepas peninggalan pencipta sesebuah karya.

Mengulas rasional di sebalik usaha yang dilakukan MACP, Rashidah berkata, selain membantu waris P Ramlee meneruskan kelangsungan hidup, inisiatif itu dianggap apresiasi terhadap karya seni peninggalan Seniman Agung itu.

“Karya P Ramlee sangat unik. Kita tidak boleh hendak bandingkan dengan orang lain kerana walaupun hampir lima dekad pemergiannya, karya beliau masih dihayati dan digunakan.

“Janganlah sekadar menilai dari sudut ekonomi semata-mata tetapi lihatlah dari aspek warisan negara dan nilai estetika yang terkandung di dalamnya. Usaha ini juga tidak terbatas kepada P Ramlee sahaja, malah membabitkan penggiat seni lain,” ujarnya.

Memandangkan masa semakin suntuk, MACP berharap kerajaan dapat membuat keputusan segera berhubung cadangan melanjutkan tempoh agihan royalti kepada waris P Ramlee.

“Kalau boleh, biarlah dalam tahun ini kerana proses melanjutkan tempoh hak cipta itu mengambil masa kerana membabitkan pindaan undang-undang.

“Proses ini juga memerlukan persetujuan Kabinet. Namun, kami faham dengan situasi sekarang, mungkin agak sukar untuk mendapat keputusan segera.

“Kami tidak akan berputus asa dan akan terus berusaha supaya usul ini mendapat perhatian kerajaan demi kebajikan ahli MACP,” katanya.

Sebelum ini, Sazali dilaporkan merayu kerajaan menimbang cadangan melanjutkan tempoh kontrak royalti lagu karya arwah bapanya. Sazali mendakwa dirinya semakin uzur dan hanya bergantung kepada royalti itu bagi menampung perbelanjaan kos perubatan dirinya dan isteri, Hamidah Hitam.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat