Sarawak sasar jadi juara keseluruhan SUKMA XXI 2024

- Advertisement -

KUCHING – Seluruh rakyat Sarawak mahu melihat bendera ‘Ibu Pertiwiku’ berkibar tinggi pada temasya Sukan Malaysia Ke-21 (SUKMA XXI) Sarawak 2024 yang akan berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos depan.

Itu pesanan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, kepada 9,927 atlet yang akan membawa cabaran Sarawak pada SUKMA XXI.

Abang Johari berkata, Sarawak sanggup menganjurkan SUKMA XXI ketika negeri lain menolaknya, kerana mahu temasya sukan terbesar negara itu terus subur dalam melahirkan atlet untuk membawa cabaran negara pada kejohanan antarabangsa.

“Sebenarnya, tahun 2024 bukan giliran Sarawak untuk menganjurkan SUKMA tetapi kerana negeri lain tidak sanggup, saya menawarkan supaya temasya ini kembali dianjurkan di Sarawak.

“Untuk itu, atlet yang terpilih membawa cabaran Sarawak harus menetapkan matlamat untuk mencapai kejayaan supaya bendera kita, Ibu Pertiwi berkibar tinggi,” kata Abang Johari.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis 100 Hari Menjelang SUKMA XXI Sarawak 2024, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah; Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah serta Chef de Mission Sarawak pada SUKMA XXI, Datuk Gerald Rentap Jabu.

Abang Johari berkata, pesanan sama turut beliau lontarkan kepada 2,692 pegawai yang terbabit dalam penyediaan dan pengurusan pasukan.

“Anda harus bekerja keras memastikan atlet jagaan masing-masing mampu mencapai matlamat yang kita tetapkan.

“Seluruh rakyat Sarawak kini meletakkan harapan tinggi kepada anda semua terutamanya atlet kita yang akan bertanding,” katanya.

SUKMA XXI akan menyaksikan 37 jenis sukan dipertandingkan membabitkan 488 acara – 236 acara lelaki, 227 acara wanita dan 35 lagi acara campuran lelaki dan wanita.

Temasya kali ini akan diadakan di sembilan bahagian di Sarawak – Kuching yang akan menganjurkan 25 jenis sukan, Samarahan (2), Serian (1), Sri Aman (1), Betong (1), Sibu (3), Mukah (3), Bintulu (3) dan Miri (6).

Abang Johari berkata, penganjuran di venue hampir semua bahagian itu adalah untuk memastikan kemeriahan acara sukan terbesar Malaysia itu dapat dirasai rakyat di seluruh Sarawak.

Sementara itu, Abdul Karim berkata, selaku penganjur SUKMA XXI, Sarawak menetapkan sasaran untuk muncul juara keseluruhan pada edisi kali ini selepas kali terakhir mengecapinya pada tahun 1994.

“Tempoh genap 30 tahun terlalu lama dan kita harus mengambil peluang sebagai tuan rumah kali ini untuk kembali bergelar juara keseluruhan.

“Saya percaya dengan persediaan yang dijalankan semua persatuan sukan, kita mampu muncul juara keseluruhan kali ini,” tambahnya. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat