Pendakwaraya hujah mahkamah terkhilaf bebaskan Bung Moktar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Pihak pendakwaan menyenaraikan tujuh sebab mengapa Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Zizie Izette Abdul Samad, perlu membela diri terhadap tuduhan rasuah dan subahat membabitkan pelaburan Felcra bernilai RM150 juta.

Dalam petisyen rayuan yang difailkan di Mahkamah Rayuan minggu lepas, pihak pendakwaan berkata, Mahkamah Tinggi terkhilaf dalam keputusan membebaskan pasangan itu.

Katanya, hakim perbicaraan, Rozina Ayob meminta kedua-dua tertuduh membela diri susulan penilaian maksimum terhadap keterangan di hadapannya.

Menurut petisyen itu juga, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Azhar Abdul Hamid terkhilaf dalam menggunakan kuasa menyemaknya untuk membebaskan Bung Moktar dan Zizie tanpa merujuk kepada alasan hakim perbicaraan dan keterangan saksi pendakwaan, Norhaili Mokhtar dan Madhi Abdul Hamid.

Tambahnya, Mahkamah Tinggi juga tersilap apabila bergantung sepenuhnya kepada keputusan lisan hakim perbicaraan mengarahkan pasangan itu membela diri, sebaliknya patut menunggu sehingga perbicaraan selesai, memetik laporan FMT pada Rabu.

Pihak pendakwaan berkata, Mahkamah Tinggi juga membuat kesilapan apabila membebaskan Bung Moktar dan isterinya, kerana Rozina tidak berkata beliau bergantung sepenuhnya kepada keterangan Norhaili dan Madhi untuk menunjukkan bahawa semua unsur kesalahan telah dibuktikan.

Ketika membuat keputusan membebaskan pasangan itu, kata pihak pendakwaan, Mahkamah Tinggi juga gagal mempertimbangkan kebolehterimaan keterangan bermusuh yang diperoleh daripada Norhaili dan Madhi.

“Pihak pendakwaan berharap agar keputusan Mahkamah Tinggi itu diketepikan dan perintah Mahkamah Sesyen agar pasangan itu menjawab tuduhan dikembalikan,” katanya.

Dalam penghakiman 10 muka surat yang dikeluarkan dua minggu lepas, Azhar berkata, beliau menggunakan kuasa menyemaknya untuk membebaskan Bung Moktar dan Zizie kerana tiada asas bagi hakim perbicaraan memerintahkan pasangan itu membela diri.

Azhar berkata, beliau berpendapat dapatan kes prima facie oleh hakim Mahkamah Sesyen “tidak betul” dan “menyongsang”, menyebabkan “ketidakadilan yang besar” terhadap kedua-dua tertuduh.

Pada 2 Sept 2022, Rozina memutuskan, pihak pendakwaan telah membuktikan kesemua unsur tuduhan terhadap Bung Moktar dan Zizie, dan anggapan rasuah bawah Seksyen 50 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 telah tercetus.

Bagaimanapun, pada 7 Sept tahun lepas, Azhar berkata, keputusan hakim perbicaraan itu bertentangan dengan keterangan yang dikemukakan di mahkamah oleh pihak pendakwaan.

“Kedua-dua saksi material bagi pihak pendakwaan, Norhaili dan Madhi, dengan jelas menyatakan dalam keterangan lisan mereka di mahkamah bahawa tiada unsur suapan wujud dalam kes ini,” katanya.

Beliau berkata, ketika pemeriksaan balas, Norhaili menafikan perkara yang dinyatakan dalam pernyataan bertulisnya semasa siasatan sebenarnya berlaku.

“Dia juga menafikan bahawa RM2.8 juta yang dibayar kepada Zizie di Public Bank Taman Melawati adalah untuk Bung,” katanya.

Azhar berkata, Madhi dalam keterangannya di mahkamah juga mengesahkan, tiada unsur suapan mahupun permintaan daripada mana-mana tertuduh.

“Dia (Madhi) seterusnya mengesahkan wang (RM2.8 juta) yang dibayar kepada Zizie ialah fi pengenalan,” katanya.

Menghadapi keterangan ini, Azhar berkata, Rozina tersilap apabila menerima kenyataan sebelum ini yang diberikan dua saksi itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia semasa siasatan dijalankan.

“Hakim perbicaraan memutuskan bahawa keterangan lisan kedua-dua saksi ini tidak memberi kesan kepada tuduhan terhadap kedua-dua tertuduh,” katanya,

Keterangan bercanggah itu menjadikan testimoni mereka tidak boleh dipercayai sama sekali, tambahnya.

Mahkamah Rayuan menetapkan 29 Julai untuk mendengar rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan Bung Moktar dan Zizie.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat