Pendidikan Anak Anggota ATM Tanda Penghargaan Kepada Pengorbanan Perwira Negara

KUALA LUMPUR,  – Perhatian terhadap pendidikan anak-anak anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bukan sekadar usaha membangunkan modal insan negara, malah merupakan tanda penghargaan terhadap pengorbanan dan kesetiaan anggota yang mempertahankan kedaulatan negara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kesejahteraan anggota ATM dan keluarga mereka perlu diberi perhatian bagi memastikan anggota dapat melaksanakan tugas dengan tenang dan penuh komitmen.

“Apabila kita memberi perhatian kepada pendidikan anak-anak anggota, ia juga merupakan penghargaan kepada pengorbanan dan kesetiaan anggota ATM yang melaksanakan tanggungjawab mempertahankan negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan (AKP) 2026 di Wisma Perwira ATM, hari ini.

Menurut beliau, anggota yang menjalankan tugas mempertahankan negara akan berasa lebih yakin dan bersemangat sekiranya masa depan anak-anak mereka diberi perhatian serta tidak diabaikan.

“Anggota yang bertugas akan rasa tenang dan bersemangat jika mereka sedar dan yakin masa depan anak-anak mereka diberi perhatian. Sebab itulah soal pendidikan diberi fokus oleh Kementerian Pertahanan dan ATM,” katanya.

Pada majlis itu, Mohamed Khaled menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Pendidikan SPM kepada 181 pelajar yang berjaya mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM 2025 sebagai pengiktirafan terhadap usaha, disiplin dan pencapaian akademik mereka.

Beliau turut menyampaikan Bantuan Universiti Awam kepada 32 penerima dan Bantuan Universiti Luar Negara kepada lima penerima yang akan melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.

Bagi tahun 2026, Kementerian Pertahanan memperuntukkan dana keseluruhan berjumlah RM464,400 yang memberi manfaat secara langsung kepada 605 penerima merangkumi program bantuan pendidikan dan insentif kecemerlangan akademik.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM166,000 diperuntukkan kepada 159 penerima bantuan melanjutkan pengajian ke universiti awam dan universiti luar negara, manakala RM298,400 disalurkan kepada 446 pelajar cemerlang menerusi Insentif Akademik AKP SPM 2026.

Mohamed Khaled berkata, Yayasan LTAT terus memainkan peranan sebagai instrumen utama Kementerian Pertahanan dalam melaksanakan pelbagai inisiatif pendidikan dan program intervensi akademik untuk anak-anak warga pertahanan.

Beliau berkata, antara program yang dilaksanakan ialah Program e-Perkasa SPM dan Program Sentuhan Elit SPM yang terbukti membantu meningkatkan pencapaian akademik pelajar secara sistematik dan berfokus.

“Pendidikan merupakan kunci utama yang mampu mengangkat taraf hidup keluarga anggota. Melalui kejayaan anak-anak dalam bidang pendidikan, kita bukan sahaja membina masa depan mereka tetapi turut memperkukuh kesejahteraan komuniti ATM secara keseluruhan,” katanya.

Menurut beliau, pelaksanaan agenda pendidikan tersebut selaras dengan Fokus Keenam Kementerian Pertahanan Tahun 2026 yang memberi penekanan kepada kebajikan dan pemerkasaan sosioekonomi warga pertahanan melalui pembangunan modal insan yang berdaya saing.

Turut hadir Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali; Ketua Eksekutif Yayasan LTAT, Datuk Dr Mohd Nizar Sudin serta pegawai kanan Kementerian Pertahanan dan ATM.

author avatar
Azie Saharuddin
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat