Sultan Selangor tak berhasrat terlibat polemik Enakmen Kanun Syariah Kelantan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak berhasrat untuk terlibat dalam polemik berkaitan keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengisytiharkan 16 kesalahan dalam Enakmen Kanun Syariah Jenayah Kelantan sebagai batal dan tidak sah.

Baginda bertitah terdapat ulasan yang memberi penjelasan sebenar mengenai kesan keputusan kes itu namun terdapat juga ulasan berdasarkan kepada polemik kepentingan pihak-pihak tertentu sehingga menimbulkan pelbagai kekeliruan kepada umat Islam di negara ini.

“Malah ada yang telah menyifatkan keputusan Mahkamah Persekutuan sebagai detik hitam kepada undang-undang jenayah syariah Islam di negara ini.

“Beta tidak berhasrat untuk turut sama terlibat dalam polemik tersebut,” titah baginda selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) sempena Mesyuarat MKI ke-71 di Putrajaya hari ini.

Sultan Sharafuddin bertitah demikian ketika mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan pada 9 Feb lepas.

Keputusan majoriti 8-1 Mahkamah Persekutuan itu disampaikan oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel sembilan anggota selepas membenarkan permohonan dua wanita Islam bagi mencabar isu perlembagaan untuk membatalkan 18 peruntukan kesalahan di bawah enakmen tersebut.

Dalam penghakiman itu, Tengku Maimun berkata Seksyen 11, 14, 16, 17, 31, 34 , 36, 39, 40, 41, 42, 43, 44, 45, 47, 48 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 adalah batal dan tidak sah.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abdul Rahman Sebli pula membuat keputusan bertentangan.

Turut bersidang Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, Hakim Besar Malaya Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd Diah serta Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais.

Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid, yang berasal dari Kelantan, dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Abdul Rahman memfailkan petisyen itu ke Mahkamah Persekutuan mengikut Perkara 4(4) Perlembagaan Persekutuan serta menamakan Kerajaan Negeri Kelantan sebagai responden tunggal.

Mereka mencabar keperlembagaan dan kesahihan 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 serta mendakwa Dewan Undangan Negeri Kelantan tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang ke atas 18 kesalahan terbabit kerana terdapat undang-undang Persekutuan yang meliputi kesalahan sama. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat