Pengarah syarikat rugi lebih RM1 juta labur tender tidak wujud

- Advertisement -

ALOR GAJAH – Seorang pengarah syarikat kerugian lebih RM1 juta selepas diperdaya melabur dalam tender pajak ladang kelapa sawit tidak wujud di dua negeri kononnya membabitkan keluasan 1,092.65 hektar, tahun lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah, berkata siasatan mendapati semuanya bermula apabila pengadu berusia 68 tahun dan berasal dari Paya Mengkuang, Masjid Tanah, dekat sini, dihubungi seorang lelaki dikenali sebagai ‘Neliar pada Jun 2023.

Katanya, suspek kemudian menawarkan kepada pengadu satu tender pajak gadai ladang kelapa sawit di Ipoh, Perak yang berkeluasan 1,500 ekar (607.03 hektar) dan di Melaka berkeluasan 1,200 ekar (485.62 hektar).

Katanya, suspek juga memberitahu tender berkenaan akan dibuka pada 17 Julai 2023 hingga 31 Oktober 2023 dan hasil perbincangan dia berjaya meyakinkan pengadu untuk memasuki tender berkenaan.

“Pengadu kemudian diminta mendepositkan wang berjumlah RM15,000 untuk menyertai tender dan dijanjikan akan menerima sijil menang tender.

“Bermula 17 Julai 2023 hingga 2 Januari lalu, pengadu sudah membuat 45 kali bayaran secara berperingkat ke dalam enam akaun bank berbeza iaitu tiga syarikat dan tiga individu berjumlah keseluruhan kira-kira RM1.03 juta,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Zainol berkata, siasatan juga mendapati satu daripada tiga akaun syarikat milik suspek, dua lagi milik rakannya dan tiga akaun lain milik kenalannya.

“Selepas bayaran dibuat, pengadu dimaklumkan berjaya masuk dan memenangi tender terbabit serta akan diberikan sijil memenangi tender, namun dia berasa diperdaya dalam urusan itu apabila sehingga kini masih tidak menerima sijil itu seperti dijanjikan.

“Beliau kemudian membuat laporan di Balai Polis Alor Gajah pada 19 Januari lalu dan hasil siasatan membawa kepada penahanan suspek berusia 37 tahun yang juga pemandu lori di Kapar, Klang Selangor pada 9 Februari lalu,” katanya.

Beliau berkata, siasatan kes sudah selesai dan arahan Pengarah Pendakwaan Negeri Melaka untuk menuduh suspek di Mahkamah Sesyen Alor Gajah pagi esok mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat