Najib gagal lagi gugur Sri Ram

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak gagal lagi dalam cubaan untuk menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada mengendalikan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapinya.

Keputusan itu selepas Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan, hari ini, menolak permohonan bekas Perdana Menteri itu untuk menggugurkan Sri Ram daripada mengetuai pendakwaan, dalam perbicaraan meminda laporan audit 1MDB.

Sehubungan itu, perbicaraan di hadapan Mohamed Zaini akan dikendalikan oleh Sri Ram, dengan seramai 11 saksi pendakwaan lagi dijangka dipanggil memberi keterangan.

Perbicaraan yang bersambung 22 Februari ini akan diteruskan dengan menyoal balas Pengarah Audit, Jabatan Audit Negara, Datuk Nor Salwani Muhammad.

Terdahulu, Mohamed Zaini dalam penghakimannya, berkata dakwaan pemohon (Najib) bahawa Sri Ram terbabit dalam siasatan terhadapnya tidak bermerit.

Katanya, tiada sebarang bukti kukuh dikemuka bagi menyokong dakwaan pemohon, selain ia hanya bersifat andaian.

“Hujah pemohon dalam permohonannya antara lain hanya bersandarkan kepada komunikasi di antara Sri Ram dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali sebagai bukti bahawa Sri Ram bertindak berat sebelah terhadap Najib.

“Sri Ram seperti individu lain mempunyai hak kepada pandangan peribadinya. Perkara itu (pandangan peribadi) tidak boleh dianggap bahawa ia akan mempengaruhi tugasnya sebagai Pendakwa Raya Kanan,” katanya.

Mohamed Zaini berkata, menjadi tugas mahkamah untuk memastikan perbicaraan dikendalikan dengan adil, demi menegakkan keadilan.

Pada 12 Disember 2018, Najib didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan kepada laporan akhir audit 1MDB, sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), untuk mengelakkan sebarang tindakan dikenakan terhadapnya.

Beliau didakwa dalam kapasitinya sebagai Perdana Menteri ketika itu, menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan bagi dirinya, iaitu perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB dengan cara mengambil tindakan mengarahkan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB, yang sedang disediakan, dipinda sebelum laporan itu dimuktamad dan dibentangkan kepada PAC yang tertuduh secara langsung mempunyai kepentingan.

Najib dituduh melakukan kesalahan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Pusat, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Februari 2016.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan itu bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Tujuh saksi pendakwaan termasuk bekas Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang memberi keterangan dalam pendengaran kes yang kali terakhir dijalankan pada 13 Oktober 2020.

Pada prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, manakala Najib diwakili peguam Nur Syahirah Hanapiah.

-BERITA HARIAN

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat