Khaled tak setuju hujah Muhyiddin pertahan 5G

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin tidak berpuas hati dengan hujah bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempertahankan
model pelaksanaan rangkaian 5G yang diterajui oleh Digital Nasional Berhad (DNB).

Katanya, gesaan Muhyiddin supaya kerajaan tidak mengkaji semula model implementasi 5G negara adalah amat memeranjatkan.

“Bekas Perdana Menteri itu membayangkan musibah yang bakal berlaku sekiranya model SWN yang diterajui DNB dalam perlaksanaan 5G negara diubah.

“Tan Sri (Muhyiddin) berhujah bahawa Negara berdepan kehilangan keyakinan oleh pelabur asing. Keyakinan pelabur telah pun terhakis disebabkan oleh keputusan kerajaan melaksanakan model ini atas tiga faktor,” kata Khaled.

Baru-baru ini Muhyiddin berkata, tindakan menukar model pelaksanaan rangkaian 5G yang diterajui oleh DNB bakal memberikan beberapa implikasi negatif kepada reputasi kerajaan.

Beliau berkata, antara risiko tersebut adalah kehilangan keyakinan oleh pelabur disebabkan perubahan pendirian kerajaan dan implikasi serius dari aspek kewangan dan perundangan ke atas negara dan DNB disebabkan isu pelanggaran atau penamatan kontrak.

Malah Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, langkah menukar model tersebut juga akan mengakibatkan negara kehilangan penjanaan ekonomi berjumlah RM122 bilion menjelang tahun 2030 seperti yang dilaporkan oleh kajian yang dijalankan oleh Ernst & Young Sdn Bhd (EY).

Hal demikian kata Khaled, pertama, berlakunya intervensi kerajaan yang tidak sihat dalam industri yang sepatutnya dipacu sektor swasta.

Kedua menurutnya, pemain-pemain industri (selain TM) sendiri belum menandatangani sebarang perjanjian dengan DNB.

“Jika pihak industri tempatan sendiri tidak yakin dengan model yang dianjurkan kerajaan, bagaimana pula pelabur luar dapat diyakini? Dan ketiga, pertikaian di Parlimen tentang keputusan unilateral MOF dalam pembentukan DNB sebagai SPV, jelas menunjukkan berlakunya kekacauan dalam tadbir urus kementerian-kementerian yang terlibat. Semua ini sudah pasti menyusutkan keyakinan pelabur.

“Tan Sri Muhyiddin juga menyatakan bahawa negara akan kehilangan kos peluang kepada pihak industri sekiranya model ini tidak diteruskan. Jika benar kos peluang sebegini realistik, mengapa sehingga sekarang masih tiada pemain industri yang teruja untuk bersama-sama terlibat dalam model usahasama ini.

“Hujah Tan Sri berkenaan kehilangan peluang dan sokongan pekerjaan juga adalah tidak berasas. Tidakkah segala peluang pekerjaan dan sokongan infrastruktur ini akan tetap dapat dicipta sekiranya model asal yang dipelopori oleh pihak pemain industri dilaksanakan? Malah dengan persaingan kualiti infrastruktur dan perkhidmatan, yang mendapat manfaat terbesar adalah rakyat sendiri. Begitu juga alasan memelihara kepentingan kontraktor bumiputra dalam menjustifikasikan gesaannya,” jelas Khaled.

Tambahnya lagi, bagi model pelaksanaan berbentuk monopoli sebegini, yang mendapat manfaat tetap hanya beberapa pihak tertentu sahaja, terutamanya para kroni tokoh tertentu. Adalah agak menjengkelkan apabila alasan sebegini terus menerus diguna pakai.

“Akses kepada rangkaian internet yang berkualiti dan sentiasa terhubung semakin diiktiraf sebagai sebahagian daripada hak asasi manusia selari hak untuk pendidikan dan kebebasan peribadi.

” Atas sebab itu, pelaksanaan agenda besar seperti implementasi 5G ini perlu segera diteliti. Terutamanya apabila perlaksanaannya dilihat sangat bercelaru seperti sekarang,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat