11 filem tempatan buka tirai 2022

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Selepas setahun ditutup akibat penularan pandemik COVID-19, pembukaan semula pawagam sejak 9 September lalu memberi nyawa kepada penerbit filem tempatan yang terkesan gara-gara karya terpaksa diperam lama.

Ibarat sinar di hujung terowong, kelonggaran diberi kerajaan untuk pengendali pawagam beroperasi semula memberi keyakinan kepada penerbit filem tempatan menayangkan karya mereka.

Perkara ini diakui Pengerusi Skim Wajib Tayang, Datuk Seri Eizlan Yusof berdasarkan senarai filem tempatan yang sudah mengisi slot tayangan dan menunggu giliran masuk pawagam.

“Alhamdulillah, apabila prosedur operasi standard (SOP) pawagam dilonggarkan, panggung wayang dibenarkan untuk beroperasi semula.

“Situasi itu memberi keyakinan kepada penerbit filem tempatan untuk menayangkan filem mereka selepas sekian lama tertangguh.

“Ramai penerbit filem mula memohon kepada Syarat Wajib Tayang untuk mendapatkan giliran slot tayangan. Bagi kami, ini petanda baik kepada industri sinema dan kami sangat mengalu-alukannya.

“Dengan jumlah kes COVID-19 yang turun dan naik, kita tidak boleh jangka apa yang akan berlaku pada masa akan datang.

“Jadi, gunakanlah kesempatan yang ada untuk menayangkan filem yang sudah lama diperam itu,” katanya kepada BH Online.

Setakat ini, enam filem tempatan sudah ditayangkan di pawagam iaitu Dendam Kesuma pada 4 November lalu, Budak Kripto (11 November), Showtime 1958 (25 November) Rumah Maduku Berhantu (2 Disember) dan Mr Peyii (9 Disember).

Mengulas sambutan terhadap filem yang sudah ditayangkan di pawagam, tanpa berselindung, Eizlan mengaku situasi masih kurang memberangsangkan biarpun hampir tiga bulan pawagam beroperasi.

“Saya turun padang melihat situasi di pawagam. Saya dapati sambutan penonton masih kurang memberangsangkan.

“Ini mungkin disebabkan penonton masih gusar dengan kes COVID-19 yang belum reda dan SOP yang perlu dipatuhi,” katanya.

Eizlan berkata, senario itu bukan sahaja membabitkan filem tempatan, malah, judul luar negara.

“Sepanjang tempoh pawagam ditutup, ada antara filem terbabit sudah ditayangkan di platform digital.

“Kesannya, saya lihat banyak filem terbabit dimuat naik secara haram di internet. Mungkin ini menjadi faktor menyebabkan filem terbabit kurang mendapat sambutan,” katanya.

 

Eizlan mengakui situasi masih kurang memberangsangkan biarpun hampir tiga bulan pawagam beroperasi disebabkan jumlah kes COVID-19 turun dan naik.
Eizlan mengakui situasi masih kurang memberangsangkan biarpun hampir tiga bulan pawagam beroperasi disebabkan jumlah kes COVID-19 turun dan naik.

 

Sebagai badan yang bertanggungjawab, Eizlan berkata, mereka membantu penerbit filem tempatan dalam pelbagai sudut bagi memastikan usaha mereka tidak sia-sia.

“Pasukan saya akan memberi nasihat kepada penerbit filem tempatan daripada segi tarikh tayangan.

“Kita akan maklumkan kepada penerbit tarikh sesuai bagi memastikan tidak berlaku pertembungan dengan filem pecah panggung antarabangsa.

“Kita juga memastikan tiada pertembungan tarikh dengan filem tempatan lain. Bagaimanapun, semuanya terpulang kepada penerbit menentukan tarikh dimahukan.

“Selain itu, kita tawarkan dana untuk aktiviti pemasaran dan publisiti. Penerbit berminat boleh rujuk kepada unit yang mengendalikan dana itu di bawah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS),” katanya.

Tambah Eizlan, FINAS juga memberi kelonggaran kepada filem yang sudah ditayangkan di platform digital atau medium Over The Top (OTT) iaitu Astro First untuk ditayangkan di layar lebar.

“Ini adalah salah satu cara kami membantu penerbit filem tempatan. Tidak semua orang boleh menonton melalui platform digital atau ada saluran Astro First.

“Jadi, peluang ini diberi kepada penerbit untuk mendapatkan jumlah penonton dalam skala lebih besar. Namun, syarat ini tertakluk kepada filem yang ditayangkan ketika pawagam ditutup susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Ditanya apakah pawagam memberi kelonggaran untuk membantu survival filem tempatan, Eizlan menjelaskan, dalam soal itu, kedua-dua pihak mengamalkan konsep situasi menang-menang.

“Melalui perbincangan bersama pengusaha pawagam sebelum ini, mereka cukup fleksibel daripada segi agihan pawagam dan slot tayangan.

“Kita tidak boleh meminta lebih kerana kita faham situasi mereka yang rugi jutaan ringgit selepas setahun pawagam tidak dibenarkan beroperasi,” katanya.

Mengisi slot tayangan menjelang akhir tahun, Filem Prebet Sapu yang mewakili Malaysia pada Anugerah Akademi Ke-93, bakal memasuki pawagam pada 16 Disember ini.

Eizlan turut menyenaraikan filem tempatan yang menunggu giliran untuk ditayangkan pada 2022. Mengikut senarai Skim Wajib Tayang, 11 filem tempatan menempah slot tayangan sehingga Mac depan.

Antara judul yang bakal ditayangkan adalah Gila Gusti, Kongsi Raya, Rumah dan Bintang Hatiku.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat