Nurulhidayah nak melabur dalam hotel, Ahmad Zahid guna duit yayasan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan dalam kes Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang didakwa atas 47 pertuduhan membabitkan penyelewengan dana milik Yayasan Akalbudi hari ini menimbulkan persoalan bagaimana sebuah hotel di Indonesia boleh membantu menghapuskan kemiskinan di negara ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran ketika berhujah mengatakan sebanyak RM8, 602,920.00 telah dikeluarkan oleh firma guaman Lewis & Co bagi tujuan pembelian hotel di Bali, Indonesia selepas anak Ahmad Zahid, Datuk Nurul Hidayah berminat untuk melabur dalam Ri-Yaz Assets Sdn. Bhd..

Menurut saksi yang juga peguam firma guaman tersebut, beliau diarahkan berbuat demikian oleh tertuduh (Ahmad Zahid). Wang RM8.6 juta itu merupakan sebahagian daripada RM17.9 juta milik Yayasan Akalbudi yang telah dipindahkan ke akaun Lewis & Co.

“Diandaikan RM17.9 juta itu diambil bagi tujuan pelaburan bagi pihak Yayasan Akalbudi, kenapa ia perlu dipindahkan dari satu akaun ke akaun yang lagi yang merupakan akaun sebuah firma guaman. Jika betul pelaburan, kenapa tidak dibiarkan sahaja dalam akaun semasa Yayasan Akalbudi.

“Dan diandaikan dalam situasi yang indah, pembelian sebuah hotel butik di Bali, Indonesia adalah bagi tujuan pelaburan bagi pihak Yayasan Akalbudi tetapi bagaimana sebuah hotel di Indonesia boleh membantu mengurangkan kadar kemiskinan di Malaysia,”soal Raja Rozela.

Tambahnya, walaupun kesemua pemegang amanah dalam Yayasan Akalbudi bersetuju dengan pelaburan tersebut, ia tetap dianggap sebagai penyalahgunaan kerana Yayasan tidak diwujudkan bagi tujuan tersebut.

“Katakanlah semua pemegang amanah Yayasan Akalbudi bersetuju untuk membeli sebuah kapal layar mewah kononnya bagi tujuan pelaburan, ia masih dianggap sebagai sebagai satu penyalahgunaan kedudukan kerana sebuah kapal layar mewah tidak boleh digunakan bagi membantu golongan miskin atau menghapuskan kemiskinan,”ujar Raja Rozela.

Timbalan Pendakwa Raya itu menghujahkan demikian di akhir kes pendakwaan Ahmad Zahid, 69, yang dituduh atas 47 pertuduhan membabitkan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah jutaan ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Menyentuh mengenai salah seorang saksi utama pendakwaan, Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly yang merupakan bekas setiausaha eksekutif, Raja Rozela keterangan saksi itu tidak langsung dicabar oleh pihak pembelaan.

Walaupun telah diasak dengan pelbagai cadangan oleh peguam bela, pendakwa raya itu menghujahkan, saksi pendakwaan ke-90 itu tetap konsisten dengan jawapannya.

“Keterangan saksi bahawa dia telah diberikan kebenaran untuk menggunakan cop tandatangan tertuduh bagi cek-cek Yayasan Akalbudi untuk pembayaran kad-kad kredit tidak tergugat. Pembelaan turut menghujahkan bahawa buku-buku cek Yayasan Akalbudi tidak disimpan oleh Ahmad Zahid sebaliknya berada dalam kawalan Mejar Mazlina.

“Tetapi tertuduh merupakan bos Mejar Mazlina. Kalau bos boleh bagi arahan sesuka hati kepada pemegang amanah, takkan tertuduh tidak boleh arahkan setiausahanya untuk buka laci dan serahkan buku cek. Malah terdapat keterangan yang menyatakan bahawa tertuduh ada membuat pemeriksaan mengejut terhadap buku-buku cek dan penyata akaun,”ujar Raja Rozela.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung Isnin ini. –

-UTUSAN ONLINE

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat