Pandai berkokok, tapi ekor penuh najis – Idris bidas Guan Eng

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad membidas kritikan Lim Guan Eng yang menuduh menteri-menteri PAS tidak cekap.

Idris mengingatkan Guan Eng bahawa banyak lagi kerja yang perlu dibereskan daripada melaga-lagakan isu perkauman malah rakyat sedang melalui fasa pemulihan pasca pandemik.

“Saya kira, hantaran Facebook Guang Eng jauh tersasar dengan segala tuduhan yang dibuat.

“Semua berhak mengkritik hasil kerja yang dilihat dari luar, kerana ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah pun, terlalu banyak kepincangan yang berlaku sehingga fenomena kita dapat melihat sendiri bagaimana PH hilang kepercayaan daripada rakyat dalam siri-siri Pilihan Raya Kecil (PRK) dan berakhir dengan kejatuhan Kerajaan PH atas kesedaran Ahli Parlimen PH melihat kerosakan yang dibuat oleh sekutu mereka dahulu.

“Banyak lagi kerja kena buat, daripada kita melaga-lagakan isu perkauman yang sering dikompangkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Rakyat sedang mahu pulih daripada pasca pandemik. Kasihanilah rakyat kita wahai YB.

“Saya khuatir, nanti rakyat melihat kamu, seperti ayam berak kapur. Pandai berkokok, tapi ekor penuh najis! tempelak Idris.

Terdahulu Guan Eng mengulas artikel yang menulis senarai menteri yang tidak cekap yang disiarkan sebuah portal.

Dilaporkan mendahului menteri daripada PAS ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad yang tidak membawa sebarang nilai dalam melaksanakan tugasnya selain menggugat perpaduan negara dan mengganggu-gugat keharmonian agama.

Katanya, Idris telah memalukan mangsa serangan seksual beragama Islam yang mendedahkan kisahnya kepada umum dan juga cuba mengganggu dan mengganggu-gugat gaya hidup, hak adat, dan amalan budaya orang bukan Islam.

“Pengawasan moral seperti itu tidak membawa sebarang faedah atau penambahbaikan terhadap akauntabiliti awam apabila rasuah masih berleluasa atau tadbir urus yang lebih baik apabila penyampaian perkhidmatan awam masih lemah sehinggakan bekalan air bersih pun tidak cukup. Sebaliknya, Malaysia menerima akibat buruk kerana dilihat sebagai ekstremis dan perkauman,” catat Guan Eng.

Namun, Idris menganggap kritikan itu sebagai fitnah yang berat.

“Mengatakan saya memalukan individu yang dimaksudkan ketika saya mengambil pertimbangan dan neraca agama dalam menilai isu yang berlaku.

“Adakah salah jika saya menggunakan ilmu dan hujah agama untuk memandu rakyat dan umat Islam dalam setiap pertimbangan dosa dan pahala untuk kemaslahatan umat Islam itu sendiri?

“Adakah salah untuk saya sebagai Menteri Agama menyeru perkara yang digariskan dalam agama, tanpa melarikan sedikitpun prinsip yang terkandung di dalam Al-Quran?

“Atau YB sengaja memercikkan api perkauman dan membesarkan jurang agama dengan menghasut orang bukan Islam menjauhi kepercayaan yang di amalkan oleh umat Islam? Sedangkan di luar sana, cukup ramai orang bukan Islam yang memahami keterbatasan yang digariskan di dalam Islam dan menghormati pendirian dan pengamalan oleh umat Islam itu sendiri,” kata Idris.

Bahkan menurut beliau setakat ini, tidak melihat idea-idea tuntas yang diperkenalkan oleh pihak pembangkang selain daripada terus menerus mencari kesalahan mana-mana usaha yang baik yang dilaksanakan oleh kerajaan.

“Ianya seperti mengulang episod ketika mereka diberi peluang memerintah, habis semua kesalahan di tuding kepada pemerintahan lama, sehingga tidak sempat menunaikan janji kayangan yang dilaungkan semasa berkempen dalam PRU-14.

“Apa kata, saya akan teruskan tugas saya sebagai Menteri Agama, dan melihat mana-mana ruang penambahbaikan dan kemajuan umat Islam dan rakyat Malaysia dengan autoriti yang saya ada untuk memberi keprihatinan saya untuk survival rakyat, dan kamu pula fokus membersihkan diri kamu yang sedang dibicarakan atas pertuduhan rasuah dalam kes terowong.

“Ada ramai lagi rakyat yang perlukan bantuan makanan dan pendapatan yang perlu kami di dalam agensi agama usahakan untuk mereka ini.

“Ada banyak lagi kawasan yang perlu saya dan pasukan menteri agama turun untuk meneliti segala bantuan yang perlu dihulurkan.

“Ada lagi ramai umat Islam yang perlu kami perkenalkan kepada kehidupan yang lebih sejahtera dengan program-program pembinaan insan untuk mencari erti hidup yang sebenar di atas muka bumi ini.

“Ada lagi ramai sahabat dan rakyat Malaysia bukan Islam yang perlu di tautkan ukhwah dan persaudaraan sebagai rakyat Malaysia yang sedang kita usahakan di dalam konsep Keluarga Malaysia yang digagaskan Perdana Menteri dan anggota kerajaan,” tegas beliau.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat