TMJ Kecewa Penyokong JDT Bersikap Lupa Diri

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Keputusan pemilik pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang sedang berkira-kira untuk meninggalkan pasukan itu bukanlah dibuat atas dasar untuk mencari populariti.

Namun, beliau yang juga Tunku Mahkota Johor mengakui kecewa dengan sikap segelintir penyokong pasukan itu yang bagaikan tidak menghargai segala pengorbanan yang dilakukan dalam menaikkan skuad Harimau Selatan sebagai gergasi bola sepak tempatan.

Katanya, beliau kini masih lagi sedang berfikir mengenai keputusan terbabit dan perlu berehat sebelum membuat apa-apa keputusan meskipun mengakui tidak mudah untuk meninggalkan pasukan yang dilahirkan dengan ‘air tangannya’ itu.

“Saya tak perlukan populariti kerana saya sudah popular. Saya pernah berbincang untuk meninggalkan bola sepak pada 2018 bukan kerana benda itu memakan masa dan kekangan kewangan tetapi saya rasa duit saya sendiri perlu diutamakan untuk jaminan kewangan anak cucu-cicit saya.

“Kadang-kadang kita sebagai manusia perlu rasa dihargai. Terus terang saya cakap selepas perlawanan Liga Juara Juara Asia (ACL), saya rasa lain sebab saya rasa penyokong JDT sudah lupa dari mana kita datang, apa itu kejayaan dan di mana kita berada hari ini jika dibandingkan pada mula dahulu.

“Apabila awak lupa benda ini, awak akan ada sikap tidak bersyukur. Setiap perjalanan, menang kalah belakang kira tetapi lihatlah kejayaan dan pembangunan yang ada dan itu yang harus dibanggakan, kita kena hargai.

“Apabila kita tidak boleh hargai benda positif itu, saya pun cakap pada diri sendiri kenapa saya nak membazir duit untuk orang yang tak hargai benda ini.

“Tetapi disebabkan ada pendatang baharu dalam atmosfera baharu yang memberi cabaran, saya tak boleh nampak macam saya nak lari, jadi saya perlu teruskan untuk buktikan yang saya adalah yang terbaik dalam perkara ini,” kata Tunku Ismail menerusi rancangan Bola@Mamak, malam tadi.

Dalam masa sama, Tunku Ismail turut mempersoalkan segelintir penyokong yang sering kali mengutarakan cadangan supaya menukar barisan kejurulatihan setiap kali pasukan itu gagal meraih keputusan positif dalam perlawanan yang diharungi.

“Sikit-sikit tukar jurulatih kalau kalah, seri pun minta tukar jurulatih. Kalau jurulatih yang dah menang tiga gelaran, kenapa nak tukar? Kena tukar sebab JDT main ACL dan tahap permainan lain. Apa yang awak tahu pasal tahap? Awak datang dari industri bola sepak?

“Saya tahu apa yang kita perlukan. Kita pun pernah kalahkan pasukan di ACL, jadi itu menunjukkan yang gaya permainan, falsafah dan jurulatih kita sesuai dengan pasukan. Kalau kereta sedang berjalan dengan baik di lebuh raya, jangan berhenti di tepi jalan untuk menukar enjin.

“Kalau (penyokong) tak boleh terima kekalahan JDT di ACL, ingat JDT ini apa? Manchester United, Manchester City, Barcelona? Kita kena ingat kita bukan pasukan yang besar di ACL.

“Kita bukan Al-Ahly, Al-Hilal atau kelab Jepun. Kita adalah pasukan kecil jika hendak dibandingkan mereka yang sudah pun bertahun lamanya melakukan projek yang kita mahu lakukan di JDT.

“Kalau saya tak menang apa-apa piala, awak (penyokong) tak percaya, saya boleh faham. Awak sudah menang 18 piala. Bukan setakat kejayaan dalam padang tetapi pembangunan, infrastruktur paling mantap dalam negara dan skuad pembangunan kita ada pun 10 trofi,” katanya. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat