Umno Tolak PAS, Pilih DAP Kerana ‘Kejar Jawatan’ – Hadi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – PAS mendakwa Umno menolak kerjasama dengan parti Islam itu kerana PAS berpegang teguh kepada Islam yang sempurna.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang malah menyatakan, Umno memilih DAP kerana jawatan Timbalan Perdana Menteri, Menteri Besar, Exco, dan lain-lain, serta mahu perpaduan Melayu yang kecil antara Umno dengan PAS sahaja.

“Akan dikenang dalam sejarah bahawa Umno tidak mahu bekerjasama dengan PAS kerana PAS berpegang teguh dengan Islam yang sempurna.

“Umno memilih DAP kerana jawatan Timbalan Perdana Menteri, Menteri Besar, Exco, dan lain-lain, serta mahu perpaduan Melayu yang kecil antara Umno dengan PAS sahaja. Keadaan ini menjadikan Umno tercicir kerana pendekatannya yang salah dan melakukan tindakan bagi menyelamatkan segelintir pihak dengan cara yang terpesong daripada perjuangan asalnya.

“Apabila PAS menyertai gerakan perpaduan Melayu, terdapat kalangan yang melakukan provokasi dan mendedahkan sifat buta agama mereka yang lebih berbahaya daripada buta huruf, kerana akibat buta agama akan merana selepas meninggal dunia. Mereka mahu mengheret kepada sifat ‘asabiyyah yang sempit dan jahiliah yang berdendam, bukannya berkasih sayang dan bermaafan,” dakwa Hadi dalam catatan Minda Presiden PAS pada Rabu.

Tambah beliau, ada pula kalangan yang cuba membawa isu perkauman dengan mengaitkan PAS.

“Ini menandakan kejahilan mereka terhadap perbezaan antara kecintaan kepada kaum dengan fanatik perkauman yang tidak ada dalam diri bangsa Melayu yang kuat beragama Islam.

“Kenyataan yang mendedahkan kejahilan mereka dalam perkara agama Islam,” ujarnya.

Maka tegas Hadi, PAS menolak DAP yang ekstrem sekular dengan ‘Malaysian Malaysia’nya kerana nyata pegangan itu menyanggah Islam, dan menolak Umno yang meninggalkan perjuangan asalnya, serta menolak semua komponen parti Pakatan Harapan (PH) dan yang sewaktu dengannya.

Jelas Hadi, PAS tidak terpengaruh dan tidak berubah dengan kematian atau kehilangan pemimpinnya.

Menurut beliau lagi, bahteranya tidak boleh ditebuk dan dibocorkan.

“Pada masa yang sama, PAS bersikap anjal (fleksibel) dalam menangani strategi politik dan situasi yang berubah.

“Namun, PAS tidak boleh diselewengkan oleh semua pihak yang cuba mengheret PAS keluar daripada landasannya.

“Malah, PAS tidak menggesa pihak lain meninggalkan ideologi perjuangan mereka secara paksaan, walaupun ideologi itu dianggap sesat dan menyesatkan,” katanya.

Tambah Hadi lagi, kerjasama PAS dengan pihak lain boleh berlaku dalam titik persamaan yang bukan dasar seperti masalah kemanusiaan dan keadilan sejagat.

“Perbincangan dilakukan dengan pimpinan utama pihak lain, bukan dengan Gurkhanya. Dalam pada itu, PAS tetap mengutamakan pendekatan damai dengan semua pihak dan tidak menyerah kalah terhadap sesiapa.

“PAS pernah bekerjasama dengan Umno, PKR, dan DAP yang paling ekstrem dalam titik persamaan, walaupun berbeza dasar dan pendekatan. Misalnya, perjuangan menentang penjajahan, menentang pencabulan terhadap demokrasi berparlimen, menentang konsep federalisme yang tidak dihormati, dan lain-lain.

“Namun begitu, apabila pihak lain menyentuh perkara dasar, aqidah perjuangan, dan hala tuju PAS seperti menegakkan negara Islam dan hukum syariat yang menjadi hak penganut Islam, mahu memaksa PAS kepada konsep perjuangannya yang salah, dan membatalkan mana-mana hukum Islam, maka PAS tidak berganjak sekali-kali. Sikap ini tidak pernah berbeza, walau sesiapa sahaja yang memimpin PAS sejak ia ditubuhkan sehingga kini,” ujarnya.

Hadi juga memberitahu, pemimpin PAS diberikan kepercayaan oleh semua kumpulan yang bergabung menentang penjajah dahulu sama ada kanan ataupun kiri, apabila Dr. Burhanuddin al-Hilmi mengetuai Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) sehingga diharamkan oleh penjajah. Namun, kumpulan Islam tidak terikut-ikut dengan kumpulan pelampau kiri dan kanan.

“Pada masa Almarhum Tan Sri Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat masih berada bersama kami, beliau sengaja dijadikan modal politik murahan DAP yang keluar dari Barisan Alternatif (BA), kemudian mengeluarkan PAS dari Pakatan Rakyat (PR) kerana gagal memesongkan PAS daripada prinsip dan hala tujunya.

“Sejak ditubuhkan sehingga kini, PAS tidak rebah tersungkur walaupun pernah kalah dalam beberapa kali pilihan raya dan jatuh kerajaan negerinya.

“Malah, bukan sekadar hilang kerusi yang pernah dimenanginya, bahkan pernah dikeluarkan daripada kerajaan pusat.
PAS tidak tenggelam dalam arena gelombang dan gelora politik tanah air. Ahlinya tetap bertambah, cawangannya makin banyak, dan kepimpinannya makin bertenaga,” kata beliau.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat