Kongres Ekonomi Melayu Anjuran Umno Akan Dibentang Untuk Pertimbangan PM – Zahid

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kongres Ekonomi Melayu yang bakal dianjurkan oleh sayap Pemuda dan Puteri Umno akan mengemukakan resolusi dan pelan ekonomi kepada Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan untuk dipertimbang dan dilaksanakan.

Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Kongres Ekonomi Melayu yang bakal diadakan ini menghimpun isu-isu berkaitan ekonomi orang Melayu.

“Saya berasa sungguh teruja apabila Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2023 yang berlangsung baru-baru ini membawa momentum yang lebih segar bahkan rata-rata perwakilan yang hadir bertekad mahu bergerak ke hadapan dan membina kekuatan parti yang lebih baik.

“Saya telah mengumumkan bahawa satu Kongres Ekonomi Melayu akan diadakan bagi menghimpun isu-isu berkaitan ekonomi orang Melayu. Isu ini sangat dekat dengan orang Melayu yang memerlukan pendekatan, strategi, dasar, pelan, visi, tekad yang lebih segar bagi mendepani ekonomi Melayu dan negara secara keseluruhannya.

“Pentingnya ekonomi Melayu diberikan tumpuan kerana apa-apa jurang dan ketidaksamaan ekonomi akan turut menjejaskan negara. Hal ini adalah kerana Melayu, Bumiputera adalah kelompok etnik majoriti negara dan sekiranya isu ketaksamaan ekonomi berterusan tidak ditangani secara menyeluruh ia akan menjejaskan kedudukan ekonomi negara keseluruhan kerana Melayu, Bumiputera mewakili sekitar 69.7 peratus (2021) populasi negara,” kata Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri dalam kenyataan pada Rabu.

Maka jelas beliau, Kongres Ekonomi Melayu yang bakal dianjurkan oleh sayap Pemuda dan Puteri Umno adalah satu manifestasi kepercayaan kepada pelapis kepimpinan muda sebagai bakal pemimpin negara pada masa akan datang.

“Saya juga telah meminta Timbalan Presiden untuk memantau perkara ini dan daripada kongres ekonomi tersebut saya berharap akan wujud sebuah resolusi untuk penambaihbaikan pelan ekonomi yang menyeluruh.

“Kita mengharapkan pelbagai idea baharu dan di luar kotak bagi mempertingkatkan kekuatan ekonomi Melayu dan menangani ketaksamaan tersebut.

“Resolusi dan pelan ekonomi ini akan dikemukakan kepada YAB Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan untuk dipertimbangkan dan dilaksanakan.

“Dengan suasana ekonomi baharu dan tidak menentu akibat perubahan iklim dan geo-politik dunia suatu persediaan lebih rapi yang bakal menjadi ‘game-changer’ kepada peningkatan ekonomi Melayu dan negara,” jelas Pengerusi BN itu lagi.

Pada masa yang sama, menurut Zahid, ‘quick-wins’ untuk menangani ekonomi semasa juga perlu diambil kira agar pelan jangka pendek, sederhana dan panjang dapat direkayasakan untuk rakyat.

“Kita perlu sedar meskipun negara berjaya mengurangkan kemiskinan dan jurang ekonomi selepas pelaksanaan DEB, namun jurang kekayaan masih tinggi. Kadar kemiskinan negara ialah 5.6 peratus manakala bandar ialah 3.8 peratus manakala di luar bandar ialah 12.4 peratus (2019).

“Begitu juga jurang pendapatan antara bandar dan luar bandar. Purata pendapatan negara ialah RM 7,901 manakala bandar ialah RM 8,635, di luar bandar pula ialah sebanyak RM5,004 (2019),” kata beliau.

Menurut Zahid lagi, jurang kemiskinan perlu ditangani bagi mengelak ketidakstabilan ekonomi, politik dan sosial.

“Jurang ekonomi yang tinggi diikuti literasi politik yang rendah akan mewujudkan kelompok Trumpism di Amerika Syarikat atau munculnya golongan politik memperalatkan golongan mangsa jurang ketaksamaan dengan retorik agama dan etnik.

“Sedangkan ia perlu ditangani dengan dasar ekonomi yang lebih efisien,” ujar beliau.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat