Menilai ‘kegagalan’ Anwar, Tuan Ibrahim yakin PRU tidak akan berlaku hujung tahun ini

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pas berbeza pendapat dengan pemimpin sekutunya Datuk Seri Azmin Ali daripada Bersatu yang mendakwa Pilihan Raya Umum (PRU) mengejut mungkin berlaku hujung tahun ini.

Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti itu sedia berdepan PRU sebelum penggal kerajaan tamat pada 2027, namun tidak menjangkakan seawal tahun ini.

“Tak mustahil PRU serentak dengan PRN, tetapi tidak ikut di Sabah (DUN tamat Oktober) tahun ini. Mungkin ikut Melaka dan Johor yang diadakan lebih awal (berbanding PRU15).

“Berdasarkan senario semasa dengan peningkatan kos hidup, kegagalan PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim) menunaikan pelbagai isu semasa, saya yakin PRU tidak diadakan dalam masa terdekat (tahun ini),” lapor FMT pada Jumaat.

Penggal pentadbiran Melaka selama lima tahun akan tamat pada 2026 manakala Johor pula dalam tempoh dua tahun lagi, dengan PRN perlu diadakan bagi menyerahkan mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu.

PRN Johor diadakan pada Mac 2022, lebih awal berbanding PRU15 yang berlangsung pada November dan menyaksikan tiada gabungan mendapat majoriti mudah.

Anwar yang juga presiden PKR menjadi perdana menteri susulan penubuhan kerajaan perpaduan dianggotai Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Warisan dan beberapa parti lain.

PRN Sabah dijangka diadakan pada bila-bila masa tahun ini susulan pentadbiran Datuk Seri Hajiji Noor genap lima tahun Oktober depan.

Jumaat lalu, Azmin yang juga setiausaha agung Bersatu dan PN berkata Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam mesyuarat pimpinan parti mengarahkan jentera digerakkan segera bagi menghadapi kemungkinan PRU mengejut hujung tahun ini.

Beliau berkata, mesyuarat itu turut membincangkan ‘perkembangan amat meyakinkan’ hasil pertemuan Presiden Pas SAbdul Hadi Awang dan Muhyiddin pada 5 Feb lalu.

Memetik sumber, portal itu melaporkan Pas dikatakan ‘tidak terlalu teruja’ menyertai naratif dimainkan Bersatu yang konon PRU mengejut bakal diadakan hujung tahun ini.

Sumber Pas itu juga memberitahu masih belum ada penyelarasan gerak kerja antara dua parti utama PN terbabit, yang boleh mengaitkan komponen itu sedia menuju ke medan PRU.

Malah, sumber Bersatu juga mendedahkan hanya segelintir pemimpin parti itu yang bersungguh-sungguh mahu PRU diadakan segera manakala sebahagian lagi tidak yakin akan berlaku PRU mengejut.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat