Oleh Zihan Zari
KAMPAR – Politeknik Ungku Omar (PUO) meneruskan komitmennya dalam melaksanakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) melalui program MechCare Empowering Sahom Through TVET.
PUO dalam kenyataannya berkata, program ini menyaksikan aktiviti perkhidmatan dan pembersihan penyaman udara yang dijalankan di Masjid Kampung Sahom serta Sekolah Kebangsaan Kampung Sahom dekat sini pada Khamis.
Menurutnya, inisiatif ini bukan sahaja untuk meningkatkan keselesaan masyarakat setempat, malah memberi peluang kepada pelajar untuk mempraktikkan kemahiran teknikal mereka dalam bidang penyelenggaraan sistem penyaman udara.
“Aktiviti ini selaras dengan usaha PUO dalam memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) melalui pengalaman pembelajaran yang bersifat praktikal.
“Program yang bermula seawal jam 9.30 pagi ini dianjurkan oleh PUO dengan kerjasama Team Centre of Air-conditioning and Refrigeration PUO serta Jabatan Kejuruteraan Mekanikal,”kata kenyataan itu.
“Penglibatan aktif 10 orang pelajar pelajar yang mengambil jurusan Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Penyamanan Udara dan Penyejukbekuan) bersama-sama tenaga pengajar bukan sahaja memberi impak positif kepada komuniti setempat, malah mengukuhkan hubungan antara institusi pendidikan dan masyarakat.
“Penduduk setempat turut menyambut baik usaha ini dan berterima kasih kepada pihak PUO atas sumbangan mereka dalam meningkatkan kemudahan awam di kawasan tersebut,”katanya.
“Dengan adanya program sebegini, kecekapan pelajar dalam bidang teknikal dapat diperhalusi, sekaligus meningkatkan kebolehpasaran mereka di industri kelak.
“Semoga inisiatif ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak program CSR yang bermanfaat kepada masyarakat serta memartabatkan peranan TVET dalam pembangunan negara,”katanya lagi.
Dalam pada itu, Penyelaras program, Dr. Adzuieen Nordin, berkata program ini amat penting dalam membentuk pelajar yang bukan sahaja berkemahiran tinggi malah mempunyai kesedaran sosial yang tinggi.
“Kami berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang untuk terus menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat,”ujarnya. – SUARA.TV