KUALA LUMPUR, – Dalam usaha menghidupkan semangat Aidilfitri yang semakin menghampiri, ARIANI sekali lagi tampil dengan koleksi eksklusif melalui majlis pertunjukan fesyen HIKAYAT ARIANI KARYA SEINDAH BUSANA yang diadakan di Grand Ballroom, Kuala Lumpur Convention Centre. Acara gilang-gemilang ini bukan sekadar memperkenalkan barisan koleksi hijab dan busana terkini, malah menampilkan sentuhan warisan dan inovasi yang menzahirkan identiti jenama fesyen Muslimah yang unggul di Malaysia.
Koleksi HIKAYAT ARIANI 2025 mempersembahkan lebih 600 rekaan hijab dan busana, dengan 158 daripadanya dipertontonkan kepada 1,000 tetamu yang hadir. Setiap helaian yang direka bukan hanya sekadar pakaian, tetapi membawa kisah dan nilai sentimental yang menjadi sebahagian daripada kemeriahan Syawal. Menurut Datin Seri Farah Haryani, Ketua Pegawai Eksekutif ARIANI, Aidilfitri adalah masa untuk berkumpul dan meraikan kebersamaan bersama insan tersayang, dan busana baharu menjadi simbol kegembiraan serta kenangan yang tidak ternilai.
Menurut Datin Seri Farah Haryani, Ketua Pegawai Eksekutif ARIANI, setiap helaian yang dihasilkan bukan sekadar fabrik yang dijahit, tetapi membawa nilai sentimental kepada pemakainya.
“Aidilfitri bukan hanya tentang berkumpul bersama keluarga dan sahabat, tetapi juga mengenai bagaimana kita meraikan momen itu dengan penuh kesyukuran dan keindahan. Fesyen memainkan peranan penting dalam membentuk kenangan. Sama ada ia pakaian yang diwarisi atau helaian baharu yang dibeli, setiap busana mempunyai kisahnya sendiri.”
Bagi koleksi hijab, ARIANI memastikan setiap wanita mempunyai pilihan yang sesuai dengan keperluan dan gaya mereka. Koleksi ini terdiri daripada lebih 300 pilihan hijab, termasuk rekaan bawal satin dan twill bercorak, bawal voile bercorak, serta selendang dalam material cotton, satin dan chiffon. Tidak ketinggalan, koleksi selendang dan bawal polos yang diserikan dengan sulaman serta kemasan batu permata dalam 60 warna eksklusif turut menjadi tarikan utama. Sementara itu, ARIANI LUXE menampilkan lebih 100 rekaan eksklusif dengan perincian French lace dan kristal Swarovski, menjadikannya pilihan ideal bagi mereka yang menggemari gaya premium.
Selain hijab, ARIANI turut memperkenalkan koleksi ARIANI READY-TO-WEAR (RTW) dengan lebih 300 rekaan baharu merangkumi baju kurung, jubah, kurta dan baju Melayu yang direka khas untuk semua peringkat umur. Dengan pelbagai potongan dan saiz yang bermula daripada bayi sehingga dewasa, koleksi ini menggunakan material berkualiti tinggi seperti cotton, satin, chiffon, crepe, jacquard dan brocade, memastikan keselesaan dan kesempurnaan gaya sepanjang Syawal. Sebanyak 300,000 helai baju raya telah disediakan dan akan mula dipasarkan secara berperingkat sempena Jualan Mega Lebaran yang berlangsung pada 21 Februari 2025.
Membuka tirai pertunjukan fesyen pada petang itu, kehadiran Rozita Che Wan (Che Ta) sebagai Muse ARIANI LUXE 2025 mencuri perhatian ramai. Dengan pesona dan keanggunan tersendiri, penampilan beliau memperagakan hijab mewah ARIANI LUXE benar-benar memukau tetamu yang hadir. Tidak sekadar itu, ARIANI turut memperkenalkan 11 wajah baharu untuk kempen raya tahun ini, termasuk Siti Khadijah, Siti Saleha, Amyra Rosli, Mawar Rashid, Uqasha Senrose, Liza Abdullah, Aqila Shamsudin, Amar Baharin, Naim Danial, Roy Azman dan Ezzaidi Aziz. Kehadiran selebriti dan personaliti terkenal ini menyerlahkan lagi kepelbagaian dan daya tarikan jenama ARIANI di kalangan peminat fesyen Muslimah di Malaysia.
Salah satu kejutan terbesar dalam acara ini adalah pengumuman kolaborasi ARIANI bersama LIBERTY LONDON, jenama fesyen mewah terkenal dari United Kingdom. Koleksi LIBERTY X ARIANI menampilkan lima rekaan busana tradisional dengan empat pilihan corak ikonik LIBERTY, melambangkan gabungan budaya Malaysia dengan elemen antarabangsa. Selain itu, ARIANI turut menjalinkan kerjasama dengan BOKITTA, jenama hijab instant tanpa pin yang terkenal dengan gaya praktikal dan elegan. Melalui koleksi khas ARIANI X BOKITTA, lebih 30 rekaan tudung instant bakal diperkenalkan secara berperingkat sepanjang tahun ini.
Majlis penuh kemewahan ini turut diserikan dengan penampilan hero-hero Malaysia, antaranya Dato’ Rahim Razali, Dato’ Fizz Fairuz, Edika Yusoff, Arash Mohamad, Rusdi Ramli, Sham Visa, Roy Azman dan Zarul Umbrella yang memperagakan koleksi baju Melayu dan kurta dari ARYAN. Kehadiran mereka bukan sahaja menggamatkan suasana, malah mengembalikan nostalgia kegemilangan dunia lakonan suatu ketika dahulu.
Sebagai kemuncak acara, persembahan daripada legenda muzik tanah air seperti Dato’ Amy Search, Dato’ Awie, Ziana Zain dan Dayang Nurfaizah turut menghidupkan lagi suasana, menjadikan majlis ini lebih daripada sekadar pertunjukan fesyen, tetapi sebuah perayaan gaya dan seni. Lebih membanggakan, kehadiran tetamu diraja Tengku Permaisuri Hajjah Norashikin, Tengku Permaisuri Selangor, menambah seri dan kemuliaan kepada majlis ini, sekaligus membuktikan keunggulan ARIANI sebagai jenama fesyen yang dihormati di Malaysia.
Dengan gabungan inovasi, warisan dan sentuhan eksklusif, ARIANI sekali lagi membuktikan keupayaan mereka dalam mencipta koleksi yang bukan sahaja menawan tetapi juga mampu membangkitkan nostalgia dan emosi di hati para peminatnya. Kesemua koleksi lebaran ini akan mula dijual secara berperingkat bermula hari ini, memastikan setiap wanita dapat menyambut Syawal dengan penuh gaya dan keanggunan.