KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR Fahmi Zainol membidas MCA yang didakwanya telah melampaui batas dalam maklum balasnya terhadap Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh berkait isu penjualan ‘sandwic ham & cheese’ papar logo halal palsu.
Bukan cuma itu Fahmi turut meminta parti komponen Barisan Nasional (BN) itu tidak masuk campur kerana isu terbabit bukan lagi soal mendapat ‘political mileage’.
“Ini soal menghormati kesucian Islam.
“Saya menempelak sekeras-kerasnya kenyataan biadab MCA ekoran maklum balas terhadap teguran dibangkitkan Akmal,” kata Adun Pantai Jerejak dalam kenyataan pada Selasa.
Semalam, Naib Presiden MCA Datuk Seri Wee Jeck Seng berkata Akmal sepatutnya mengelak daripada mempolitikkan isu penjualan sandwic memaparkan logo halal palsu dikesan di kedai serbaneka KK Mart di Universiti Malaya (UM), minggu lalu.
Ahli Parlimen Tanjung Piai itu dilaporkan berkata isu berkenaan perlu diserahkan kepada pihak berkuasa seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk ditangani tanpa melibatkan campur tangan pemimpin politik.
Beliau mendakwa tindakan Akmal itu boleh meninggalkan kesan buruk kepada persekitaran perniagaan di negara ini termasuk menyebabkan pelabur asing menarik diri.
Terdahulu, Akmal menggesa polis menyiasat penjualan ‘sandwic ham & cheese’ dalam kampus UM yang disifatkan tidak boleh diterima, selain mempersoalkan jaminan keselamatan produk yang mempunyai logo halal dijual di rangkaian KK Mart.
Kenyataan Akmal itu turut dibidas Ketua Pemuda DAP Woo Kah Leong yang mendakwa Exco Melaka berkenaan cuba mensensasikan isu terbabit seolah-olah UM tidak mengambil tindakan segera.
Semalam, KK Mart memaklumkan telah membekukan semua urusan perniagaan Shake and Bake Cafe Sdn Bhd iaitu pembekal produk ‘sandwic ham & cheese’ dijual di premisnya.
Rangkaian kedai serbaneka itu turut memaklumkan bahawa kemasukan produk daripada syarikat terbabit ke semua cawangan kedai dihentikan.
UM baru-baru ini mengarahkan penutupan dua premis kedai serbaneka 24 jam dalam kampusnya susulan dakwaan penemuan produk pek sandwic diragui status halal.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) turut mengesahkan ‘sandwic ham & cheese’ dijual di kedai serbaneka di UM itu tidak mempunyai sijil pengesahan halal, iaitu kesalahan mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 iaitu Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.
Jakim dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah menyerbu kilang Shake and Bake Cafe, Jumaat lalu.