KUALA LUMPUR – Pejabat Peguam Negara wajar membatalkan permohonan gag order atau perintah larangan bersuara bagi melarang sesiapa sahaja membincangkan isu berkaitan kes permohonan semakan Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung titah addendum kerana Mahkamah Tinggi memutuskan ia mesti dipohon sebelum 20 Januari 2025.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Puad Zarkashi berkata, gag order itu hanya akan menambah parah defisit kepercayaan rakyat kepada kerajaan.
“Komen rakyat terhadap permohonan Pejabat Peguam Negara untuk “gag order” terlalu negatif. Ia menambah parah “defisit kepercayaan” kepada kerajaan.
“Gag order melarang rakyat bercakap isu “titah addendum” menyebabkan rakyat percaya kerajaan ada banyak lagi rahsia yang mahu disorokkan.
“Banyak spekulasi dan juga andaian negatif akan berlegar di media sosial. Ia memburukkan kredibiliti kerajaan.
“Maka wajar Pejabat Peguam Negara membatalkan permohonan gag order tersebut kerana Mahkamah Tinggi memutuskan ia mesti dipohon sebelum 20 Januari 2025,” gesa Puad.
Kerajaan akan memfailkan permohonan perintah larangan bersuara bagi melarang sesiapa sahaja membincangkan isu berkaitan kes permohonan semakan Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung titah addendum.
Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan memberitahu pihaknya akan memfailkan perkara itu 20 Januari depan.
Ditanya alasan permohonan itu, Shamsul berkata ia adalah untuk melindungi Institusi Diraja kerana perkara itu menyentuh isu sensitif iaitu raja, agama dan kaum (3R).
Prosiding berkenaan titah addendum yang dikatakan diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi membolehkan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Hayatulakmal Abdul Aziz.