Anwar perlukan 120 SD Setelah Takiyuddin Buka Laluan

- Advertisement -

CYBERJAYA – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim memerlukan sekurang-kurangnya 120 Akuan Bersumpah (SD) Ahli Parlimen menyokong beliau sebagai Perdana Menteri sekiranya mahu menjatuhkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Walaupun 112 adalah garis majoriti mudah dalam Dewan Rakyat, namun Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong dikatakan tidak begitu berminat melakukan perubahan kerajaan pada majoriti yang begitu tipis.

Ini kerana baginda perlu berhati-hati menguruskan perubahan sokongan yang kecil ini bagi mengelakkan politik negara terus berada dalam keadaan tidak stabil dan sering bertukar Perdana Menteri.

Penggantian Perdana Menteri

Dalam Perlembagaan Persekutuan, YDP Agong hanya boleh melantik Perdana Menteri baharu sekiranya ada kekosongan jawatan tersebut.

Kekosongan jawatan boleh berlaku sekiranya terdapat (i) keputusan pilihan raya umum yang baharu, (ii) pemegang sedia ada meletak jawatan atau (iii) Perdana Menteri sedia ada hilang kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat (ADR).

Menurut Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan, “Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri, melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.”

Di sini ada lompang dalam Perlembagaan iaitu bagaimana cara pembuktian Perdana Menteri telah hilang sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat (ADR).

Secara konvensyen tentulah ia perlu dibuktikan dalam Dewan Rakyat sama ada melalui penolakan Rang Undang-Undang yang dibentangkan, atau melalui usul undi percaya atau tidak percaya seperti mana berlaku dalam sidang Dewan Undangan Negeri Perak baharu ini.

Rujukan Perak

Rujukan sesetengah pihak kepada krisis politik Perak pada 2009 tidak begitu tepat. Ia situasi yang berlainan dengan usaha Anwar Ibrahim sekarang.

Pada 2009, Menteri Besar. Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, telah menghadap Tuanku Sultan Perak memaklumkan beliau telah hilang sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perak dan memohon pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

Tindakan memaklum hilang majoriti oleh Menteri Besar sedia ada telah memberi kuasa kepada Tuanku Sultan membuat keputusan sama ada melantik Menteri Besar baharu yang baginda percaya ada sokongan majoriti atau membubarkan DUN.

Pada ketika itu baginda memilih untuk melantik Menteri Besar baharu setelah percaya Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mempunyai sokongan majoriti Adun Perak.

Takiyuddin Buka Laluan

Bagaimanapaun Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan telah membuka pintu bagi usaha menjatuhkan Perdana Menteri melalui SD ini.

Dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat minggu lalu, Takiyuddin telah berkata, “… bukan menjadi satu halangan kepada mana-mana pihak untuk kemukakan apa jua bentuk yang menunjukkan sokongan kepada mana mana Ahli Dewan Rakyat, untuk menjadi seorang Perdana Menteri, mungkin Perdana Menteri kesembilan.

“Kita di pihak kerajaan sentiasa terbuka. Sekiranya ada mana-mana Ahli Parlimen boleh mengemukakan Akuan Bersumpah (SD) kepada Yang di-Pertuan Agong, melebihi 112 sokongan, maka kita akur kepada proses demokrasi dalam negara ini,”

Kenyataan Takiyuddin dalam Dewan Rakyat bagi pihak kerajaan ini telah membuka ruang kepada Yang Di Pertuan Agong menerima sebarang usaha memaklumkan bahawa Perdana Menteri telah hilang majoriti melalui SD.

Justeru usaha menukar Perdana Menteri melalui SD ini sudah menjadi hak prerogratif Tuanku YDPA. Anwar Ibrahim mungkin menjadi Perdana Menteri sekiranya beliau mampu menyerahkan 120 SD yang menyokong beliau.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat