Sarkas Dewan Rakyat

- Advertisement -

Oleh Ab Jalil Backer

Keputusan empat orang Ahli Parlimen dari Perikatan Nasional (PN) mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim seharusnya diterima dengan sikap terbuka oleh blok pembangkang.

Pasca kelulusan pindaan Perlembagaan berkaitan anti lompat parti, PN adalah pelopor yang mempertahankan kebebasan ahli-ahli Dewan Rakyat untuk membuat keputusan yang bebas termasuk dalam pemilihan Perdana Menteri.

Tan Sri Muhyiddin sendiri antara yang menggunakan kaedah ini untuk menghantar permohonan menjadi Perdana Menteri kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Jika negara ini mahu ke hadapan, pemimpin politik harus berhenti bersikap hipokrit dan bersedia mempertahankan idealismenya walaupun tidak menguntung blok mereka.

Pada November tahun lalu, terdapat dua pandangan dalam kebebasan Ahli Parlimen membuat keputusan memilih calon Perdana Menteri.

Satu pandangan ialah Ahli Parlimen mempunyai hak mutlak dalam memilih calon Perdana Menteri tanpa perlu terikat kepada keputusan parti.

Ini adalah selari dengan Perlembagaan Persekutuan, Perkara 43 (2) (a) yang menyatakan, “Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.”

Jika anda masih ingat Seri Paduka Baginda juga menggunakan kaedah yang sama pada awal usaha mencari Perdana Menteri. Baginda telah meminta Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, dua pemimpin yang menguasai sebahagian besar kerusi Dewan Rakyat, mengemukakan akuan bersumpah Ahli Parlimen yang menyokong mereka.

Bagaimanapun pandangan kedua dibawa oleh Ahli Parlimen Pengerang, yang kini merupakan Menteri Hal Ehwal Undang-undang, Datuk Seri Azalina Othman Said. Menurut beliau Ahli Parlimen yang tidak patuh kepada keputusan parti hilang kedudukan sebagai Ahli Parlimen.

“Mana-mana Ahli Parlimen yang enggan menuruti keputusan parti, juga akan tergugur keahlian parti ‘ceases to be a member’, dan perlu mengosongkan kerusi mereka di Parlimen. Ini akan bertindak sebagai penghalang kepada Ahli Parlimen daripada mengingkari arahan parti, sekali gus memastikan kepatuhan disiplin parti,” tulis Azalina semasa krisis pemilihan Perdana Menteri, November tahun lalu.

Seperti mana Muhyiddin bertukar posisi apabila tidak menguntungkannya, setakat ini kita tidak dengar sebarang usul dari Azalina bagi mengosongkan keempat-empat kerusi Parlimen tersebut. Mungkin kerana sokongan tersebut kini menguntungkan blok kerajaan.

Jenaka Ahli Parlimen

Alasan empat orang ahli Parlimen ini – Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), dan Zahari Kechik (Jeli) menyokong Perdana Menteri bagi menjaga kebajikan pengundi dalam kawasan Parlimen mereka adalah dilema yang berusia lebih 60 tahun.

Ia berkaitan dengan politik demokrasi separuh masak negara sejak merdeka yang hanya mengagihkan peruntukan kepada wakil rakyat yang berada dalam blok kerajaan. Walaupun selama lebih tiga dekad menawarkan pembaharuan politik, ‘bapa reformasi’ Anwar Ibrahim juga meneruskan apa yang beliau kecam selama ini.

Dunia telah jauh berubah, namun profesionalisme ahli politik negara masih di tahap awal merdeka. Janji-janji pembaharuan politik hanya sekadar sandiwara.

Bagi empat orang ini pula, berhentilah menjual alasan demi kepentingan rakyat. Adalah tidak masuk akal tindakan melemahkan blok pembangkang dianggap sebagai menjaga kepentingan rakyat. Ia bertentangan sama sekali dengan falsafah dan idealisme demokrasi.

Realitinya mereka bukanlah menjaga kepentingan rakyat, tetapi hanya menjaga kepentingan peribadi.

Menjadi wakil kerajaan lebih untung dari menjadi wakil rakyat. Mungkin sebab itu mereka bukan sekadar menyokong tetapi juga memohon kedudukan mereka di dalam Dewan Rakyat diubah ke blok kerajaan, walaupun parti mereka berada di blok pembangkang.

Dalam kita mempertahankan kebebasan Ahli Parlimen membuat keputusan, namun memohon menukar kedudukan di Dewan Rakyat telah melampaui garis rasional seorang penggubal undang-undang.

Mereka ini mahu menjadikan Dewan Rakyat seperti sebuah sarkas. Siapa yang memilih badut-badut ini menjadi calon pilihan raya harus meminta maaf kepada rakyat.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat