Apapun terjadi, gaji penjawat awam tetap naik – Anwar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kenaikan gaji lebih 13 peratus untuk penjawat awam adalah muktamad.

Beliau berkata demikian menjawab pertikaian dibangkitkan segelintir pihak yang mendakwa pengumuman itu tidak lengkap termasuk belum dibentangkan dalam Belanjawan 2025.

Menteri Kewangan itu bagaimanapun berkata perincian kenaikan gaji penjawat awam menerusi kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) perlu melalui pelbagai proses termasuk dibentangkan kepada Jemaah Menteri terlebih dahulu.

“Ada orang cabar kenapa tak umum secara terperinci.. saya kata tak boleh sebab ada prosesnya.

“Prinsipnya kita boleh umum tapi yang kecil-kecil itu kita kena bentangkan dulu pada Jemaah Menteri.. dah ada yang pertikai maknanya belum muktamad la tu,” katanya pada perhimpunan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya pada Isnin.

“Ada pula kata mana tau Parlimen tak luluskan… saya nak tanya Ahli Parlimen mana yang nak bantah ni?,” kata Anwar.

Pada 4 Mei, Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal melalui Facebooknya mendakwa kenaikan tangga gaji itu adalah ‘berita tidak pasti lagi’, memandangkan ia hanya akan dilaksanakan jika Belanjawan 2025 diluluskan.

Anwar bagaimanapun berkata jika terdapat percubaan untuk menggagalkan Belanjawan 2025, ia tetap akan diluluskan dengan sokongan penuh Ahli Parlimen parti-parti dalam kerajaan perpaduan.

“Kalau pun bantah, ada Pakatan Harapan, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak, dan Gabungan Rakyat Sabah majoriti tetap dua pertiga,” katanya.

Pada sambutan Hari Pekerja 2024 bertemakan ‘Pekerja Kesuma Bangsa’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Anwar mengumumkan penjawat awam akan menikmati kenaikan gaji lebih 13 peratus bermula 1 Dis, antara tertinggi dalam sejarah dengan peruntukan lebih RM10 bilion.

Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang sedang diperincikan juga akan meningkatkan gaji minimum penjawat awam melebihi RM2,000 sebulan, berbanding ketika ini menyaksikan jumlah pendapatan minimum termasuk gaji dan elaun tetap RM1,795 sebulan.

Jelas Anwar lagi, kerajaan mengambil keputusan berani dan radikal untuk menaikkan gaji penjawat awam kerana tidak mahu membebankan golongan berkenaan, biarpun situasi ekonomi negara masih belum stabil.

Menurut beliau, sebagai ‘bapa’ dalam keluarga besar kerajaan, majoriti penjawat awam tidak boleh dibebankan dengan kesalahan ketirisan dan keterlanjuran hutang negara.

“Jika mengikut pertimbangan dan teori ekonomi, semua kenaikan gaji sewajarnya ditangguhkan sehingga ekonomi lebih stabil, maknanya hutang (negara) kurang.

“Tetapi saya lihat dari segi MADANi, ihsan, tahap kecekapan, kemampanan, bagaimana boleh kita bebankan kepada penjawat awam, kesalahan yang bukan semuanya berpunca dari mereka, kadang-kadang dari segi pengurusan, kecuaian oleh pihak lain,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat